Kerajaan Ada Bukti Kegiatan Pembalakan Punca Banjir, Nama Akan Didedahkan Kepada Umum Kata Shahidan Kassim.


Kerajaan mempunyai bukti wujudnya penerokaan tanah dan pembalakan haram di Kelantan sehingga mengakibatkan berlakunya banjir besar di negeri itu, baru-baru ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, nama-nama individu dan penaja termasuk ahli politik yang terlibat akan didedahkan dalam masa terdekat.


Jelas beliau, berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada pelbagai agensi kerajaan termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN), banjir besar di Kelantan adalah disebabkan penerokaan tanah dan pembalakan haram.“Kerajaan mempunyai bukti kemusnahan hutan berlaku di kawasan terlibat antaranya di Gua Musang.


“Oleh itu, kita minta ahli-ahli politik tertentu tidak mengeluarkan kenyataan (isu pembalakan) lagi kerana kerajaan akan mendedahkan nama-nama mereka,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat MKN Negeri di sini hari ini.


Menurut Shahidan, pihaknya bersedia berbincang dengan kerajaan Pas Kelantan untuk mengatasi masalah penerokaan tanah dan pembalakan haram bagi mengelak banjir besar berulang di negeri terbabit.


Kerajaan Pas Kelantan kata beliau, harus mencontohi negeri-negeri lain seperti Pahang, Terengganu dan Perak yang telah mula mengambil tindakan terhadap pihak yang didapati memusnahkan hutan.


“Jika langkah itu tidak diambil, walaupun tebatan banjir dibina di Kelantan pun akan gagal menyelesaikan masalah. Semasa lawatan saya ke Kelantan, banjir lumpur sedalam 1.8 meter.


“Ikutilah langkah Sarawak yang menetapkan pihak swasta menanam lima batang pokok bagi setiap pokok ditebang untuk tujuan pembangunan,” ujarnya.


Tambah Shahidan, antara yang boleh dilakukan kerajaan Pas Kelantan adalah melantik masyarakat Orang Asli di Gua Musang sebagai renjer sukarelawan untuk menjadi mata dan telinga bagi menyekat kegiatan pembalakan haram.


Beliau berkata, kawasan hutan tertentu di negeri tersebut juga boleh dibina pagar besi dan palang bagi menghalang kenderaan berat menceroboh untuk menebang balak. -UM-

Jom Monetize Aplikasi Anda Dengan StartApp

Dimsum : Must watch for Asian drama

Share this :

Previous
Next Post »