Rosmah Peluk Lee Chong Wei Tak Sama Macam Peminat KPOP Peluk Artis Kata UMNO Cheras.


Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee menyelar gesaan bekas Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Shahbudin Husin agar Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bertindak dan menyiasat Datin Seri Rosmah Mansor yang memeluk pemain badminton negara, Datuk Lee Chong Wei.

Syed Ali yang mempertahankan tindakan Rosmah menegaskan, apa yang dilakukan oleh isteri Perdana Menteri tidak sama dengan apa yang dilakukan tiga gadis bertudung yang berpeluk dan bercium dengan artis K-Pop berkenaan.

“Saya menyifatkan tindakan Datin Rosmah Mansor memeluk pemain bandminton nombor satu negara sebagai satu penghargaan seorang ibu kepada anaknya kerana berjaya meraih kemenangan dalam sukan. Ianya sama sekali tidak boleh disamakan dengan tindakan tiga gadis bertudung dengan bintang K-Pop.

“Bagi sesiapa pernah mengikuti program Datin Seri Rosmah termasuk program yang dianjurkan oleh UMNO Bahagian Cheras sering mendengar ucapan yang sering dilafazkan oleh beliau merupakan ‘ibu’ kepada 28 juta rakyat Malaysia. Beliau juga selalu menyebut , sebagai isteri Perdana Menteri sentiasa mengambil berat kebajikan rakyat pelbagai kaum di negara ini . Beliau juga sentiasa menekankan soal perpaduan dalam ucapannya dan sering menasihatkan rakyat agar jangan berpecah belah.

“Bagi saya tidak salah bagi isteri Perdana Menteri yang menganggap dirinya ibu memeluk Lee Chong Wei kerana mengiktiraf dan amat menghargai kejayaan yang dicapai oleh pemain badminton negara yang berjaya mengharumkan nama negara,”  katanya.

Syed Ali yang turut melahirkan rasa kesal tindakan bekas Naib Ketua Pemuda Wangsa Maju yang juga penulis blog yang mendakwa JAWI gagal bertindak ke atas Datin Seri Rosmah Mansor yang memeluk pemain badminton negara.

Apa yang dilakukan oleh Datin Seri Rosmah Mansor terhadap Lee Chong Wei atas kapasiti beliau sebagai isteri pemimpin nombor satu negara. Ianya tidak lebih seperti kasih sayang yang dinampakkan oleh seorang ibu kepada anaknya.

Malah Shahbudin dalam tulisannya, turut mencabar JAWI memanggil dan mengeluarkan waran tangkap kepada isteri Perdana Menteri itu. Shahbudin turut mengecam JAWI yang disifatkannya ingin ‘tumpang semangkuk’ dalam isu K-Pop kerana mahu menunjuk-nunjuk kuasa dan keprihatinan mereka terhadap perbuatan maksiat.

Kata Syed Ali, tidak usahlah mana-mana pihak mempersoalkan kewibawaan JAWI dalam usaha membanteras maksiat dan sebagainya.

Tegasnya, dalam apa jua tindakan sekalipun JAWI mempunyai prosedur dalam mengatur tindakan. Apa yang dilakukan oleh JAWI dalam membanteras kejadian maksiat yang nyata dan terang-terangan sudah tentu mengikut peraturan dan undang-undang sedia ada.

“Tak perlulah mana-mana pihak mempersoalkan tanggungjawab JAWI dalam menangani isu K-Pop akan dilakukan dengan bijak dan sudah tentu penuh berhemah,” katanya.

Pada masa yang sama, Syed Ali turut membidas tindakan sesetengah pihak yang terus mempolitikkan atau mengaibkan isteri Perdana Menteri dengan penyiaran gambar-gambar berpelukan bersama artis lelaki Bollywood.

Beliau menyifatkan tindakan tersebut jelas tidak bertanggungjawab dan menghina intsitusi Perdana Menteri. Beliau tidak menolak kemungkinan ianya dilakukan sebagai helah untuk menutup isu pokok sedang dibangkitkan sekarang ini iaitu isu berpelukan dengan artis K-Pop. -umno-cheras-

Jom Monetize Aplikasi Anda Dengan StartApp

Dimsum : Must watch for Asian drama

Share this :

Previous
Next Post »