AMANAH Sedia Tolak Hudud Ikut Konsensus Pembangkang Kata Mat Sabu.


Bekas ahli Parlimen PAS, yang kini menyertai parti baharu Parti Amanah Negara (Amanah), sedia mengundi menolak rang undang-undang hudud di Dewan Rakyat, sekiranya ia merupakan keputusan konsensus pembangkang, kata pengerusinya Mohamad Sabu.

Katanya, pendirian mereka akan bergantung kepada konsensus yang dicapai antara Amanah dan rakan lain dalam gabungan parti pembangkang yang akan ditubuhkan kelak, katanya.

"Kami akan berunding dengan rakan dalam gabungan terlebih dahulu," kata Mohamad, yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu.

"Kalau mereka kata 'Tidak', maka kami tidak akan menyokongnya," katanya di Kuching, Sarawak hari ini ketika ditanya pihak media pendirian parti itu mengenai hudud.


Beliau berkata demikian pada majlis memperkenalkan Amanah, kumpulan serpihan parti Islam PAS, di negeri itu hari ini.

Beliau berkata, pendirian parti itu mengenai hudud akan dibuat berdasarkan proses perundingan, pendekatan demokrasi dan peruntukan yang termaktub di bawah Perlembagaan.

“Kami akan bincangkan dengan rakan kami. Kita tak boleh paksa hudud atas rakyat sekiranya majoriti mereka, Islam dan bukan Islam, tidak bersetuju dengannya.

"Dan kita tak boleh paksa pelaksanaannya sekiranya ia bertentangan dengan perlembagaan," kata Mat Sabu.

Ahli Parlimen Parit Buntar Datuk Mujahid Yusof Rawa bagaimanapun berkata, beliau tidak percaya rang undang-undang itu, yang cuba dibawa sebagai rang undang-undang persendirian oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, akan berjaya dibentangkan di Dewan Rakyat.

Hadi berusaha membentangkan rang undang-undang itu bagi membolehkan Kelantan, yang meluluskan enakmen jenayah Islam di Dewan Undangan Negeri pada Mac, melaksanakan hukuman hudud di negeri di bawah teraju PAS itu.

"Terlalu jauh dari realiti walaupun untuk bercakap mengenai kemungkinan mengundi untuknya. Ia masih belum melalui proses yang sewajarnya.

"Rang undang-undang itu masih dengan Speaker. Ia malah tidak dikemukakan kepada Majlis Raja-Raja untuk mereka membincangkannya.

"Raja-raja mempunyai bidang kuasa ke atas hal ehwal agama (Islam) dan mereka perlu menyokongnya," kata Mujahid kepada perhimpunan di Kuching itu.

Beliau juga menyifatkan pembentangan rang undang-undang oleh Hadi itu sebagai "mengarut", menggelarkannya "tipu helah politik Barisan Nasional (BN) untuk memecahkan Pakatan Rakyat (PR)".

"Hadi ditipu. Beliau diperdaya untuk masuk dalam perangkap BN yang hendak memecahkan PR," kata Mujahid, anak kepada salah seorang bekas presiden PAS terdahulu.

Gabungan pembangkang PR hancur awal tahun ini kerana isu hudud di Kelantan dan penolakan DAP terhadap cara unilateral Hadi dalam bertindak dan membuat keputusan.

PAS juga secara rasmi mengesahkan memutuskan hubungan dengan DAP pada muktamar agung tahunan parti itu pada Jun.

DAP sedari dulu menentang pelaksanaan undang-undang Islam itu dan menuduh PAS melanggar dasar rangka kerja yang dicapai PR pada 2011, di mana semua pihak dalam gabungan itu bersetuju hudud bukan agenda bersama.

Fidzuan Zaidi, bekas ahli exco PAS Sarawak, dipilih sebagai pengerusi Amanah di negeri itu - TMI

Jom Monetize Aplikasi Anda Dengan StartApp

Dimsum : Must watch for Asian drama

Share this :

Previous
Next Post »