Kalah Saman - Utusan Diperintah Bayar Anwar 200,000.


Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan Utusan Melayu (Malaysia) Bhd membayar ganti rugi berjumlah RM200,000 kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung saman fitnah yang dimenangi bekas ketua pembangkang itu 2 tahun lepas.

Saman itu berhubung 2 artikel yang diterbitkan syarikat penerbitan itu membabitkan temu bual Anwar dengan BBC mengenai undang-undang homoseksual.

Hakim Datuk Hue Siew Kheng memerintahkan Utusan dan Ketua Pengarangnya, Datuk Abdul Aziz Ishak selaku defendan membayar ganti rugi am dan ganti rugi teruk, masing-masing sebanyak RM100,000 kepada Anwar selaku plaintif.

Mahkamah juga memerintahkan kos guaman sebanyak RM8,000 dibayar oleh defendan.
Hue ketika membuat keputusan itu berkata mahkamah mendapati artikel yang diterbitkan defendan dibuat dengan berniat jahat dan defendan gagal membuktikan pembelaan justifikasi dalam kes saman itu.

Pada 21 Januari 2013, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk V T Singham membenarkan tuntutan saman Anwar dengan memutuskan 2 artikel yang diterbitkan Utusan Melayu pada 17 Januari 2012 berhubung temu bual Anwar dengan BBC, adalah fitnah.

Anwar memfailkan saman fitnah itu pada 10 Januari 2012 bagi menuntut ganti rugi RM50 juta atas dakwaan defendan menerbitkan 2 artikel di muka depan dan muka surat 10 akhbar Utusan Malaysia, bertarikh 17 Januari tahun sama, berhubung temu bual beliau dengan BBC.

Beliau mendakwa pernyataan fitnah itu seolah-olah memberikan gambaran beliau adalah seorang pemimpin Islam yang mempunyai pandangan yang tidak selari dengan ajaran agama Islam.

Anwar yang diwakili peguam N Surendran dan Latheefa Koya hadir pada prosiding hari ini.

Peguam Muhammad Asmirul Asraf Fadli yang mewakili kedua-dua defendan ketika ditemui pemberita berkata beliau akan mendapatkan arahan selanjutnya daripada anak guam sama ada untuk membuat rayuan berhubung keputusan hari ini. – Bernama

Jom Monetize Aplikasi Anda Dengan StartApp

Dimsum : Must watch for Asian drama

Share this :

Previous
Next Post »