F Team : Mengakhiri Era Keganasan Komunis - Sudut Pandang Sejarah Dari Kaca Mata PDRM.

Oleh: Tan Sri Khalid Abu Bakar 

F TEAM : Mengakhiri era keganasan komunis

Pembaca budiman. 


Seperti dijanjikan minggu lalu, saya kembali ke ruangan ini untuk meneruskan kisah mengenai kecemerlangan F TEAM, pasukan elit Cawangan Khas yang bertanggungjawab mengakhiri era keganasan komunis di Malaysia. Dari 1971 hingga 1989, F TEAM berjaya menghapuskan lebih daripada 40 pengganas komunis, satu rekod luar biasa dan cemerlang bagi satu pasukan operasi yang sebegitu kecil. 

Namun begitu, membunuh musuh bukanlah tugas utama pasukan ini, kerana apa yang dituntut adalah bagi mereka menangkap hidup-hidup pengganas dan anggota Kumpulan Bawah Tanah mereka. Itulah matlamat utama bagi tujuan memperluas dan memperkukuhkan lagi maklumat dan risikan awal yang diperoleh. 

Tugas dan tanggungjawab ini sebenarnya adalah lebih rumit, berat dan mencabar jika dibandingkan dengan tugas membunuh musuh. Dalam tempoh lebih 24 tahun, F TEAM berjaya menangkap dan menawan beratus-ratus anggota pengganas dari tentera Parti Komunis Malaya (PKM) dan anggota Kumpulan Bawah Tanah. 

Jelasnya, kunci kejayaan pasukan ini adalah kemampuan mereka mendapatkan risikan dan maklumat yang tepat, bagi melancarkan operasi menggempur pengganas komunis. Adalah sesuatu yang amat menakjubkan jika dibandingkan kekuatan pasukan ini dengan lain-lain pasukan. 

F TEAM hanyalah sebuah pasukan kecil di mana bilangan keanggotaannya tidak melebihi 50 orang dalam satu-satu masa beroperasi. Keanggotaannya terdiri dari pelbagai kaum, yang terdiri dari mereka yang diserap masuk dari Pasukan Polis Hutan (PPH), bekas anggota komunis yang berkhidmat secara kontrak dengan Cawangan Khas dan juga beberapa bekas anggota tentera yang berhenti dan diambil berkhidmat secara kontrak kerana memiliki kepakaran dalam bidang persenjataan, alat perhubungan dan kenderaan. 

Sebagai sebuah unit operasi yang bergerak dalam penuh kerahsiaan, anggota pasukan F TEAM ini tidak ditempatkan di kem tertentu seperti pasukan operasi lainnya. Mereka sebaliknya ditempatkan di dua kuarters kerajaan sahaja di Kuala Lumpur. 

Setiap kali beroperasi di hutan, anggota yang terbabit terpaksa membeli bahan makanan sendiri kerana tidak disediakan dengan ‘packed rations’ seperti yang dibekalkan kepada pasukan keselamatan yang beroperasi di belantara. 

Sekiranya operasi berlanjutan, mereka terpaksa pula keluar ke kawasan berhampiran untuk membeli bahan makanan tambahan. Namun, pergerakan keluar masuk dari kawasan operasi sentiasa dirahsiakan dan dilakukan secara senyap dan terlindung. 

Walaupun berhadapan pelbagai kesukaran dan kekurangan dari segi logistik dan kelengkapan, ia sama sekali tidak pernah meluntur atau melemahkan semangat anggota F TEAM. Dengan moto ‘Hanya Yang Berani’, mereka sentiasa menjulang semangat juang dan keberanian serta disiplin yang tinggi. Esprit-de-corps serta semangat kekeluargaan di kalangan anggota berbagai kaum F TEAM cukup erat hingga terbentuknya ‘band of brotherhood’ yang ampuh dan berkekalan sehingga hari ini. 

Tidak tersurat di dalam rekod sejarah negara memerangi komunis (1948 - 1989), mana-mana pasukan yang berjaya menawan dan menghapuskan dua Unit Penggempur Pengganas Komunis, melainkan F TEAM. 

Pasukan ini membuktikan kemampuannya dengan menawan dua pasukan tentera PKM iaitu Unit Penggempur Ke-16 pada 1982 dan Unit Penggempur Ke-6 pada 1987/1988. 

F TEAM ini jugalah yang membantu membawa keluar hampir semua pengganas komunis dari pasukan PARAKU di dua bahagian di Sarawak, iaitu di Kanowit dan di Baram, Miri pada 1990. Maka sewajarnyalah, F TEAM ini dinobatkan sebagai pasukan elit yang terbilang dalam sejarah negara menghapuskan ancaman komunis. 

Menyorot kembali operasi yang dilaksanakan oleh F TEAM, selain dari menawan kedua-dua Unit Penggempur yang dimaksudkan, pasukan ini turut berjaya dalam operasi sulit menghapuskan pasukan tentera komunis yang dikenali sebagai Pasukan Kerja Bersenjata (Armed Work Force - AWF) di Selangor, Pahang dan di selatan Perak. 

Hampir semua kumpulan pengganas dari unit AWF dari AWF Ke-1 (di kawasan Rawang), AWF Ke-5 (di barat Bentong), AWF Ke-7 (di Cheroh, Pahang), AWF Ke-9 (di Telemong/Mancis), AWF Ke-15 (di Mentakab/Jerantut) dan AWF Ke-21 (di KKB) berjaya ditumpaskan pasukan ini. 

Tentunya kejayaan operasi tersebut bukan disebabkan nasib dan secara kebetulan, tetapi disebabkan pengorbanan, komitmen dan keupayaan mereka mengumpul maklumat dan risikan serta kemampuan menyiasat dan mengkaji dengan teliti kawasan sasaran sebelum mengambil tindakan. 

Penyamaran adalah kemahiran dan kekuatan pasukan ini. Setelah risikan yang diperoleh dikaji dengan teliti dan mendalam dan setelah setiap anggota pasukan disahkan bersedia dari sudut fizikal dan kekuatan mental, mereka diarah masuk ke kawasan operasi dengan memohon kerja di ladang sasaran di mana elemen pasukan AWF bergerak aktif. 

Dalam Operasi Kelisa contohnya, seorang anggota diarah masuk ke sebuah ladang terpencil di daerah Mentakab, Pahang, sementara dua orang lagi diarah masuk ke kawasan estet getah di Kuala Kubu Lama. 

Di Mentakab, anggota pasukan ini diterima bekerja dan tinggal di ladang kelapa sawit selama hampir setahun dan seringkali dihubungi oleh pengganas dari pasukan AWF Ke-15. 

Kebolehan dan keupayaan anggota ini adalah sesuatu yang sangat mengagumkan kerana langsung tidak disyaki oleh pihak musuh, dan berjaya menyalurkan maklumat yang tepat sehingga akhirnya dalam satu gerakan serang hendap yang dirancang, F TEAM berjaya menghapuskan lima pengganas komunis, termasuk ketuanya CT Wong Chu Nam. 

Sementara itu, dalam Operasi Ular di Kuala Kubu Baru (KKB), dua anggota yang menyamar sebagai penoreh getah juga telah berjaya membantu mendapatkan maklumat penting berhubung pergerakan pasukan AWF Ke-21. 

Di masa yang sama, beberapa anggota yang lain pula diarah menyamar sebagai pekerja kampung dan tinggal berhampiran Kampung Melayu, Kuala Kubu Lama. Semua mereka juga melaksanakan tugas merisik dan mengkaji kawasan sasaran, di samping membuat pemerhatian ke atas pergerakan musuh. 

Hasil dari usaha gigih mereka, F TEAM telah melancarkan satu gerakan serang hendap dengan hanya empat anggota sahaja dan berjaya menghapuskan empat orang pengganas komunis, termasuk ketuanya CT Pang Wu, di pinggir hutan Sungai Meranti di Jalan KKB ke Bukit Fraser, Pahang. 

Pembaca budiman, selain melaksanakan gerakan di hutan, F TEAM juga dikehendaki melaksanakan tugas menangkap anggota Kumpulan Bawah Tanah komunis. 

Dalam satu operasi penting di Kulai, Johor, pasukan ini telah bertempur dan berjaya menawan ketua Kumpulan Bawah Tanah komunis dari Barisan Pembebasan Kebangsaan Malaya (MNLF) bernama CT Seng Kang dan isterinya di sebuah ladang sayur. 

Mereka akhirnya dibicarakan di Mahkamah Tinggi Johor Bahru dan Seng Kang telah dihukum gantung sampai mati, manakala isterinya pula dipenjarakan tujuh tahun. 

Dengan terhapusnya Seng Kang, hampir keseluruhan kumpulan dan anggota Bawah Tanah komunis dari MNLF yang bergerak cergas dari Singapura hingga ke Selangor, berjaya ditumpaskan. 

Pada 1982, Ops Kelah dilancarkan ke atas Unit Penggempur Ke-16, PKM. Unit penggempur ini diarahkan oleh PKM induk untuk menyusup masuk dari Selatan Thailand melalui Jajaran Timur (Eastern Corridor) Banjaran Titiwangsa, dari Perak dan Kelantan, menuju ke selatan, sehinggalah sampai ke Kuala Lipis, Pahang. 

Misi mereka ialah menghubungi Unit Penggempur Ke-6 untuk memberi bantuan senjata api dan alat perhubungan (radio communication sets) tambahan. 

Operasi Kelah ini dilaksanakan sendiri oleh pasukan F TEAM, tanpa bantuan dari lain-lain pasukan keselamatan. Hasilnya, F TEAM berjaya menghalang pertemuan dan penyatuan kedua-dua unit penggempur berkenaan. 

Melalui beberapa siri operasi gerakan sulit yang dilaksanakan di Kuala Lipis Pahang, semua 23 anggota komunis Unit Penggempur Ke-16, termasuk ketuanya CT Ah Chor, telah berjaya ditawan hidup-hidup dan sejumlah besar senjata api serta alat komunikasi radio dirampas. 

Kejayaan menghapuskan Unit Penggempur Ke-16 ini sangat signifikan kerana sekiranya kedua-dua Unit Penggempur ini berjaya bersatu, sudah pasti tentera PKM akan bertambah kuat kerana memiliki kekuatan senjata api dan peralatan komunikasi. 

Malah, seandainya F TEAM gagal dalam menyekat penyatuan kuasa itu, pasukan keselamatan akan berhadapan dengan cabaran yang lebih berat dan sukar dalam menghadapi ancaman pengganas komunis. 

Pada 1987, dalam Operasi Taa Loong yang dilancarkan oleh F TEAM di hadapan Globe Silk Store, Jalan Tuanku Abd Rahman, Kuala Lumpur, ketua Unit Penggempur Ke-6, CT Chong Chor dan 2 orang pengikutnya ditangkap dengan pantas dan secara senyap. 

Seperti umum sedia maklum, Chong Chor adalah seorang ketua pengganas berpangkat Central Committee Member (CCM) yang sangat terkenal di kalangan anggota pasukan keselamatan dan sentiasa menjadi idaman setiap pasukan operasi untuk menghapuskan beliau dan pasukannya. Unit Penggempur ke-6 yang diketuai Chong Chor sangat licik dan bijak bergerak di dalam hutan hingga sukar dikesan pergerakan mereka oleh pasukan keselamatan. 

Menerusi Operasi Taa Loong ini yang memakan masa setahun, F TEAM berjaya menangkap dan menahan semua anggota pasukan induk Unit Penggempur Ke-6, termasuk saki-baki anggota pasukan AWF. Maka dengan kejayaan ini, berakhirlah perjuangan bersenjata PKM di Semenanjung Malaysia. Tiada seorang pun anggota pengganas komunis yang terlepas atau tertinggal di dalam kawasan hutan lagi kerana semuanya berjaya dibawa keluar. 

Kejayaan yang sangat besar ini juga, adalah salah satu faktor utama yang membawa kepada termeterainya perjanjian damai di antara PKM dan Kerajaan Malaysia pada Disember 1989. Pada penghujung 1990, F TEAM bersama-sama Cawangan Khas Sarawak melancarkan Operasi Chien Meh sehingga berjaya menangkap semua anggota pengganas komunis PARAKU, dan membawa mereka keluar dari kawasan hutan Kanowit dan Miri. 

Dengan tertawannya anggota pasukan PARAKU termasuk ketuanya CT Ung Chu Ting di Sarawak, maka berakhirlah perjuangan bersenjata komunis di seluruh tanah air. 

Minggu hadapan, saya akan mengulas secara ringkas, operasi yang dijalankan oleh F TEAM, supaya agar pembaca dapat sama-sama menghargai pengorbanan pasukan elit Cawangan Khas ini. 

Insya-Allah. 

Penulis Ketua Polis Negara.
Artikel ini disiarkan di Harian Metro pada : Sabtu, 24 Disember 2016
Disalin semula oleh : The Patriots.

Jom Monetize Aplikasi Anda Dengan StartApp

Dimsum : Must watch for Asian drama

Share this :

Previous
Next Post »