Filem Animasi Moana Ada Kaitan Dengan Dajjal? - Suatu Ulasan.

Oleh : The Patriots.

FILEM ANIMASI MOANA: BENARKAH ADA KAITAN DENGAN AL-MASIH AD-DAJJAL? 

Sebenarnya saya sudah merancang untuk memberikan ulasan penuh tentang filem ini kerana page The Patriots beberapa hari lepas Namun saya tidak berkesempatan menontonnya di pawagam memandangkan jadual terlalu padat dan banyak deadline yang harus saya kejar. 



Namun, trigger utama untuk saya menjejak kaki ke panggung ialah pada pagi semalam apabila admin The Patriots yang lain mencari saya untuk penjelasan panjang tentang sebuah artikel yang menuduh bahawa mitologi orang Austronesia/Melayu-Polinesia adalah Al-Masih Ad-Dajjal ataupun anti-christ. 

Saya tergamam sebab antara yang memandu saya untuk menaikkan ulasan tentang filem ini ialah betapa kecintaan saya pada sejarah Melayu dan rumpunnya sendiri. Tiba-tiba sejarah ini difitnah sedemikian rupa oleh anak bangsa dan sama agama dengan saya? Dan kemudiannya, saya diberitahu semuanya adalah berpunca daripada sebuah tokoh demi-god dalam mitologi Austronesia/Melayu-Polinesia iaitu Maui. Siapa sebenarnya tokoh ini sehingga menjadi polemik di laman maya kita?

Saya tinggalkan soalan itu untuk diulas pada penghujung artikel ini. Saya mahu memulakan artikel ini dengan beberapa petikan sejarah supaya kita merasai benang halus antara bangsa Melayu dan Hawaii, sehingga kita menganggap bahawa cerita ini ialah cerita tentang kita juga. 

Dalam Around The World With A King (1904), tulisan William N. Armstrong, pada halaman 126, ketika Raja Kalakaua dari Hawaii bertemu dengan Raja Chulalongkorn dari Thailand pada lewat bulan March tahun 1881, ketika raja Chulangkorn bertanyakan dari bangsa manakala Raja Kalakaua ini berasal, tanpa berselindung dengan penuh bangga, Raja Kalakaua mengatakan:

“Darah Melayu mengalir dalam badan beta!”

Lalu disahut oleh Raja Chulangkorn:

“Orang Thai pun mengalir darah bangsa Melayu dalam diri mereka!” 

Ya kawan-kawan, kita sedang menonton sebuah filem yang sedang menggambarkan kepada kita tentang sebuah saudara jauh kita yang serumpun dari sudut bahasa, sejarah, budaya, dan juga keturunan. Kita sedang melihat sebuah filem yang membicarakan tentang kebudayaan seorang saudara jauh Melayu dan bagaimana mereka melupakan diri mereka setelah sekian lama ditelan oleh sejarah. Ironinya, situasi yang sama turut terlihat pada bangsa Melayu kita sendiri. 

Saya cukup memuji Disney dalam kajian mereka mendalam tentang rumpun Austronesia/Melayu-Polinesia sebelum menghasilkan filem ini, sesuatu yang filem mahupun karya Malaysia sangat kekurangan. Sebagai contoh, dalam filem ini anda akan melihat bagaimana babi, ayam, kelapa dan tatu menjadi objek yang selalu dipaparkan seiring dengan perkembangan watak Moana itu sendiri. Mengapakah sedemikian?

Dalam makalah Coconut (Cocos nucifera L.) DNA studies support the hypothesis of an ancient Austronesian migration from Southeast Asia to America tulisan Luc Baudouin dan Patricia Lebrun, dua penulis ini mencadangkan bahawa antara faktor utama yang membuatkan kelapa boleh berada sehingga jauh Ecuador dan Benua Amerika kerana dibawah oleh suku-suku Austronesia/Melayu-Polinesia daripada Asia Tenggara kira-kira 2000 tahun yang lalu. Siapa suku-suku Austronesia ini? Tentunya nenek moyang kita, orang Melayu dan pelbagai suku-suku pelaut Austronesia. Justeru, tidak hairanlah kalau anda melihat bagaimana kepala cukup sinonim dengan pelaut-pelaut Austronesia di dalam filem ini. 

Tidak cukup dengan itu, misalnya penggunaan ayam dan babi juga sangat berkait rapat dengan tamadun pelaut Austronesia/Melayu-Polinesia itu sendiri. Sebagai contoh, ayam sangat dekat dengan Austronesia/Melayu-Polinesia. Di dalam buku Austronesian Diaspora and The Ethnogeneses of People in Indonesian Archipelago : Proceedings of the International Symposium pada halaman 199 mengatakan bahawa orang Austronesia/Melayu-Polinesia di Kepulauan Melayu atau lokasi yang lebih tepat di Indonesia Timur pada hari ini adalah antara bangsa terawal di dunia yang mula menjinakkan ayam dan mendomestikkan pengunaaan ayam.

Begitu juga dengan babi yang juga dikatakan bangsa Austronesia/Melayu-Polinesia antara bangsa terawal yang mengaplikasikan pengunaan babi berbanding bangsa lain lalu tersebar ke serata tamadun yang lain. Sebab itu, watak yang mengiringi Moana dalam filem ini berkisarkan seekor babi yang comel dan juga seekor ayam yang mereng yang sangat mencuit hati para penonton. 

Filem ini sangat jujur mengambarkan betapa suku-suku Austronesia/Melayu-Polinesia ini ialah raja lautan. Sebagai contoh, ketika Moana terjumpa sebuah gua atas bimbingan neneknya, dan sekaligus memorinya terus terbang tentang siapakah sebenarnya bangsa Austronesia/Melayu-Polinesia. Sebuah babak yang mengambarkan nenek moyang Moana begitu gigih meredah lautan. Bahkan lirik-lirik lagunya sungguh berhantu dan membuatkan bulu roma saya terus meremang. Saya kongsikan dengan kalian:

---

Tatou o tagata folau e vala’auina
E le atua o le sami tele e o mai
Ia ava’e le lu’itau e lelei
Tapenapena

Aue, aue
Nuku i mua
Te manulele e tataki e
Aue, aue
Te fenua, te mālie
Nae ko hakilia mo kaiga e

We read the wind and the sky when the sun is high
We sail the length of the seas on the ocean breeze
At night, we name every star
We know where we are
We know who we are, who we are

Aue, aue
We set a course to find
A brand new island everywhere we roam
Aue, aue
We keep our island in our mind
And when it's time to find home
We know the way

Aue, aue
We are explorers reading every sign
We tell the stories of our elders in a never-ending chain
Aue, aue
Te fenua, te mālie
Nā heko hakilia
We know the way
---

Apa yang anda dapat daripada lirik lagu di atas? Lagu ini menceritakan kepada kita siapa itu bangsa Austronesia/Melayu-Polinesia itu sebenarnya! Suka saya kaitkan lirik di atas dengan sejarah tentang bagaimana Lynda Shaffler ada memetik dalam buku beliau.

“Bangsa Melayu berlayar dengan bantuan bacaan angin dan bintang, melalui pembacaan akan bentuk dan warna awan, atau melalui pembacaan warna air laut, melalui gelombang dan juga alunan ombak lautan. Orang Melayu dapat mengenal pasti lokasi sebuah pulau sejauh 30 batu jauhnya melalui pembacaan pada spesis burung, ikan dan batu karang yang ada di dalam lautan, sambil dibantu oleh alunan ombak.” 

Babak ini dapat dilihat apabila Maui berlayar merentasi lautan luas bersama dengan Moana. Filem ini menggambarkan ilmu yang dimiliki oleh Maui dan lirik lagu We Know The Way seperti mana yang dicatatkan oleh Lynda Shaffler. Dengan jelas, digambarkan bagaimana Maui mengajarkan Moana bagaimana untuk membaca bintang dan angin, untuk membaca air laut dan menaikkan layar dan mengenal pasti bagaimana untuk mengetahui mereka sudah sampai ke bahagian perairan atau tidak. 

Info tambahan untuk lirik lagu itu, kalau anda turut mendengar dan memasang telinga lirik dalam Bahasa Hawaii, anda akan menjumpai perkataan-perkataan dalam Bahasa Hawaii yang turut wujud dalam Bahasa Melayu menjadikan dua bahasa ini sebagai bahasa adik-beradik. Sebagai contoh, Pulau dan Benua. 

Tentunya, babak paling berhantu di dalam filem ini ialah di babak akhir yang melibatkan bagaimana Moana berhadapan dengan makhluk yang menjadi batu penghalang antara Moana dan Maui untuk mencapai misi dan objektif mereka. Ketika Moana sedang memujuk si raksasa yang sedang mengamuk itu, saya cukup tersentuh dengan bait-bait ayat yang berbunyi:

“Mereka rampas hati kau daripada diri kau. Tetapi pada penghujungnya, hanya kau yang mengenali siapa diri kau!” 

Saya terus mengaitkan babak itu dengan percubaan penjajah untuk menjatuhkan prestij bangsa Melayu dan bangsa-bangsa lain dalam rumpun Austronesia/Melayu-Polinesia. Saya memandang hati itu sebagai simbolik kepada akar, imej dan identiti rumpun Austronesia/Melayu-Polinesia itu sendiri. Apabila penjajah menjajah mereka, mereka cuba membuatkan bangsa-bangsa ini menjauhkan diri mereka hakikat diri mereka. 

Sebagai contoh bangsa Melayu, betapa berusahanya penjajah ini cuba mengambarkan siapa diri kita dan mengubah sejarah kita. Namun, pada penghujungnya hanya kita sahaja yang mengenali diri kita. Kita ialah bangsa pelaut yang menjelajah dan menjajah. Kita mengetahui prestij bangsa kita, Semoga tidak ditelan zaman!

Dan kita sedang berada pada topik yang ditunggu oleh kita semua. Apakah benar Maui ini ada kaitan dengan Al-Masih Ad-Dajjal? 

Sebenarnya hanya kerana terdapat sebuah hadis yang mengaitkan bahawa Dajjal datang daripada sebuah kepulauan lalu dikurung disana, terus mereka mengaitkan bahawa Maui dalam filem ini ada kaitan dengan Dajjal. Sebenarnya, dari mana cerita Maui ini? 

Sama seperti unsur-unsur Austronesia/Melayu-Polinesia yang dipaparkan, ianya datang daripada mitologi Polinesia itu sendiri. Ingat orang Yunani sahaja ada mitologinya? Orang Austronesia/Melayu-Polinesia pun adalah! Kalau Yunani terkenal dengan Zeus atau Celtic terkenal dengan Lokinya, orang Austronesia/Melayu-Polinesia terkenal dengan seorang tokoh bernama Maui! 

---

i. Mitos Maori 

Dalam mitos Maori, Maui digambarkan sebagai seorang bayi ajaib yang dilontarkan oleh bondanya ke dalam laut sebelum diselamatkan oleh semangat laut dan dijaga oleh entiti yang setaraf tuhan bernama Tama-nui-te-ra lalu dijaga sehinga ke dewasa. Kisah yang menyelubungi Maui dalam mitologi Maori sangat epik. Antaranya ialah kanu yang didayungnya bertukar menjadi sebuah kepulauan yang menjadi rumah orang Maori hari ini iaitu Aotearoa atau New Zeland atau kisah bagaimana Maui menipu Dewa Api dan mencuri helah untuk menghasilkan api. 

Kebolehan Maui yang lain adalah seperti membuatkan Matahari lebih lama berada di atas langit kerana siang yang terlalu pendek membuatkan orang-orangnya tidak dapat bekerja lebih masa. Kononnya Maui memukul matahari berulang kali menggunakan sejenis senjata yang menyerupai sabit yang dipanggil sebagai Manaiakalani yang panjang sehingga Matahari bersetuju untuk bergerak lebih perlahan dan memanjangkan tempoh waktu kesiangan. 

ii. Mitos Hawaii 

Mitos Maui dalam kisah orang Hawaii hampir sama atas dasar serumpun. Kalau dalam mitos Maori mengatakan bahawa Maui memukul matahari dengan tulang berbentuk sabit milik nenek moyangnya untuk memastikan matahari tidak bergerak terlalu lama, dalam mitos orang Hawaii pula diceritakan kononnya ketika ibunya mengadu kepada Maui bahawa hari terlalu pendek untuk menyidai kainnya, maka Maui telah memanjat gunung paling tinggi iaitu Gunung Berapi Tama-nui-te-ra. 

Ketika Matahari sedang terbit, maka Maui dikatakan menggunakan rambut daripada adik-beradik perempuannya dan menjadikan tali lalu mengikat cahaya matahari dengan rambut tersebut. Matahari dikatakan merayu kepada Maui dan akan memenuhi permintaannya untuk memanjangkan siang berbanding malam sekiranya Maui melepaskannya. 

Kalau orang Maori dengan mitos yang mengatakan bahawa Kepulauan New Zealand hari ini berasal daripada kanu yang didayung oleh Maui, orang Hawaii pula mempunyai mitos tersendiri tentang bagaimana kepulauan Hawaii ini boleh terbentuk. Kononnya ketika Maui pergi memancing dengan adik-beradiknya, Maui telah membawa mata kailnya dipanggil sebagai Manaiakalani dan mula memancing. 

Mata kail tersebut dipasang oleh Maui di dasar lautan dan dia selepas itu, menipu adik-beradik lelakinya kononnya mereka telah menangkap seekor ikan yang sangat besar. Percaya dengan kisah itu, maka mereka anak-beranak mula menarik tali pancing sehingga terbitnya pulau dari dasar laut yang dikenali sebagai Pulau Hawaii hari ini. 

iiii. Mitos Samoa 

Dalam mitologi Samoa, Maui lebih dikenali sebagai TI’I-TI’I. Nama penuh Maui dalam miotologi Samoa ialah Maui-TI’I-TI’I dan antara kisah-kisah hebat yang menyelubungi Maui ini ialah membunuh seekor sotong kurita yang tinggal dalam sebuah gua. Kononnya sotong kurita ini mempunyai janggut yang sangat panjang dan kalau dia lapar, dia hanya perlu mengeluarkan janggutnya dari gua tersebut dan menarik mana-mana manusia masuk ke dalam mulutnya. 

Antara persamaan Maui dalam mitologi Samoa dan mitologi orang polinesia yang lain ialah Maui dan penghasilan api dalam masyarakat Polinesia. Mengikut orang Samoa, api tidaklah wujud di kalangan manusia sehinggalah Maui mennyelinap masuk ke dalam sarang bawah tanah milik Dewa Api dan Gempa Bumi iaitu Dewa Mafuie. Kononnya untuk merampas api milik Dewa Api dan memulangkan kepada manusia, Maui harus bergusti dengan Dewa Api sehinggalah salah satu daripada tangannya patah. 

----

Saya hanya menaikkan tiga buah mitologi Polinesia tentang Maui ini sendiri. Suku-suku lain yang turut berkongsi mitos Maui ini adalah seperti Tongga, Fiji, Tahitian, Mangareva dan banyak lagi. Secara ringkasnya, daripada kisah mitologi Polinesia di atas, kaum Mauii ini adalah Hercules bagi masyarakat rumpun Melayu-Polinesia. Seperti mana Hang Tuah ialah Hercules bagi masyarakat Melayu, Maui ialah Hercules bagi masyarakat Polinesia. 

Sebenarnya, hikayat ini seperti mana hikayat bangsa lain, adalah sebuah kisah yang terselit sesuatu yang tersirat tentang tamadun sebuah bangsa. Kebiasaan seperti dalam setiap tamadun, tentu ada seorang tokoh yang sangat dikagumi. Lalu kekaguman atas tokoh ini membuatkan dia dipuja-puja sehinggakan diangkat menjadi TUHAN. Lalu banyaklah kisah-kisah mengagumkan mengelilingi tokoh ini. Terkadang juga, sebuah masyarakat menulis kisah sebegini dalam hikayat-hikayat mereka adalah sebagai untuk mengambarkan maksud tersirat dalam tamadun mereka. 

Sebagai contoh, kalau kisah Maui ini, dia selalu dikaitkan dengan senjata ajaib berbentuk kerawit/sabit Maui yang banyak membantunya dalam pelayaran. Hakikatnya, sabit itu adalah sekadar gambaran merujuk kepada buruj jengking yang digunakan dalam ilmu navigasi di lautan. Kisah Maui dikatakan berkemampuan menarik matahari supaya siang hari lebih panjang sebenarnya membawa maksud berpindah ke kawasan yang jauh dari khatulistiwa di mana siang harinya lebih panjang pada Musim panas. Sebab itu masyarakat Hawaii anntara masyarakat yang paling jauh dalam wilayah masyarakat-masyarakat Austronesia/Melayu-Polinesia yang lain. 

Saya percaya bahawa Maui ialah seorang manusia biasa seperti kita, tetapi kisahnya ditulis dalam bentuk hikayat dan bersifat kod yang dinanti untuk dibedah sendiri oleh anak cucuknya. Ianya saling tak tumpah seperti mitos-mitos orang melayu kita. Sebagai contoh, Singapura dilanggar Todak atau kisah si Badang yang minum muntah Jin lalu menjadi gagah perkasa. Mitos adalah cara orang purba memahami dunia sekeliling mereka menggunakan daya kreativiti yang tertumpu di bahagian otak belah kanan. 

Satu dua kebetulan dalam sebuah mitologi dengan kisah Dajjal tak boleh dijadikan sebagai hujah untuk mengaitkan Maui dengan Dajjal. Anda sebenarnya sedang menghina sejarah nenek moyang anda yang merupakan pelaut kental. Dalam banyak-banyak mesej hebat yang dipaparkan dalam filem, nak mengaitkan watak Maui dengan Dajjal jugak yang kita dok sebarkan. 

Dan ketika ditanyakan oleh rakan facebook kalau benar bahawa Maui ini bukan Dajjal Al-Masih, kenapa mesti mitosnya berlatarkan kepulauan sekaligus menyamai hadis nabi tentang Dajjal yang dikurung disebuah kepulauan? Saya hanya menepuk dahi mendengarkan soalan ini. 

Bangsa Melayu-Polinesia ialah sebuah bangsa yang menongkah lautan dan bermain dengan ombak. Mereka ialah Lord Of The Sea. Apabila mitologi mereka tidak berasaskan kepulauan dan lautan, tentu ada yang tidak kena. Tak akanlah mitologi bangsa pelaut harus berlatarkan padang pasir dan juga kawasan bersalji seperti mana mitologi Arab dan Eropah? 

Akhir kata daripada saya, ambilah kata-kata daripada Prof Tatiana Denisova daripada Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains & Peradaban, Fakulti Tamadun Islam Universiti Teknologi Malaysia, seorang wanita Russia yang sangat tinggi roh Melayunya dan mengabadikan hidupnya mengkaji hikayat-hikayat Melayu: 

"Hikayat dan Legenda itu adalah seni intelektualisma pada tahap tertinggi."

Apabila anda menghina hikayat orang Austronesia/Melayu-Polinesia dengan sedemikian rupa, anda juga menghina tingkat intelektual yang dimiliki oleh orang Austronesia//Melayu-Polinesia apabila mendakwa salah satu daripada tokoh dalam sejarah mereka sebagai Dajjal/Anti-Christ.

Jom Monetize Aplikasi Anda Dengan StartApp

JualBeli Motor Dan Segala Kelengkapan Permotoran Disini

100Mbps Hanya RM149 Dengan Time Internet

BolehCompare : Portal Perbandingan Perkhidmatan Yang Pertama Di Malaysia

Share this :

Previous
Next Post »