Mungkin Ada Sebab Rohingya Dibunuh Kata Warga Myammar Di Malaysia.

Hubungan antara warganegara Myanmar dan masyarakat Muslim Rohingnya yang berada di Malaysia baik dan tidak berbalah seperti berlaku di negara asal mereka.

Kebanyakan pekerja warga Myanmar yang ditemui FMT di Jalan Alor, Bukit Bintang di sini tidak setuju dengan tindakan keganasan yang dilakukan terhadap Rohingya di Rakhine, utara Myanmar.
Ai Mie, warga Myanmar bekerja di restoran Cina di sini berkata Rohingya di Myanmar tidak perlu dibunuh dengan kejam seperti yang sedang berlaku pada masa ini.
Katanya, Malaysia perlu dijadikan contoh apabila rakyat Myanmar boleh berkawan dengan Rohingya walaupun mereka berbeza agama.
“Kami tiada masalah dengan Rohingya di Malaysia. Saya juga mempunyai kawan Rohingya.
“Kita semua tetap sama orang Myanmar. Tidak perlu gaduh. Saya sedih mereka di sana bergaduh,” katanya kepada FMT.
Rakyat Myanmar, Min Min yang bekerja sebagai tukang masak berkata beliau sedar kewujudan pertikaian tentang etnik Rohingya di negara mereka.
Katanya, warga Myanmar di Malaysia tidak perlu bersikap ganas terhadap Rohingya.
“Walaupun saya tidak ada kawan Rohingya di Malaysia, namun saya juga tidak setuju dengan pembunuhan Rohingya di Myanmar. Kita harap ia tidak berlaku di sini,” katanya.
Baru-baru ini, kerajaan Malaysia mengutuk keganasan yang tercetus di Rakhine, daerah penempatan Muslim Rohingya sejak beberapa bulan lalu.
Sekurang-kurangnya 86 orang dilaporkan terbunuh, manakala kira-kira 30,000 penduduk kehilangan tempat tinggal dalam pertumpahan darah paling teruk di rantau ini sejak kejadian kematian beratus orang dalam pergaduhan kaum pada 2012 di negara itu.
Lee, seorang lagi rakyat Myanmar yang bekerja di Plaza Low Yat berkata kerajaan Myanmar perlu memandang serius keganasan yang dilakukan terhadap Rohingya.
“Tiada masalah untuk kami berkawan dengan Rohingya di sini. Kami berkawan di sini, tiada masalah dengan Rohingya di sini. Kita semua kawan sama seperti Cina, India dan Melayu di Malaysia,” katanya.
Bagaimanapun, Lee tidak bersetuju jika ada laporan mengatakan Rohingya di Myanmar dibunuh tanpa sebab.
“Tidak masuk akal jika Rohingnya dibunuh tanpa sebab dan Rohingya juga bukan dibunuh hari-hari.
“Mungkin ada sebab tertentu mengapa Rohingya dibunuh di sana. Undang-undang negara mana pun tidak membenarkan pembunuhan tanpa sebab sama seperti di Myanmar,” katanya.
Rekod kini menunjukkan terdapat 56,000 Rohingya dan warga Myanmar pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di negara ini.

Jom Monetize Aplikasi Anda Dengan StartApp

Dimsum : Must watch for Asian drama

Share this :

Previous
Next Post »