PAS Sedia Bergabung Dengan Mana-Mana Parti Selepas PRU-14 Bagi Mewujudkan Kerajaan Campuran.

PAS bersedia membentuk gabungan dengan mana-mana pakatan parti selepas pilihan raya umum (PRU) akan datang untuk menubuhkan kerajaan campuran, kata Dr Mohd Zuhdi Marzuki.

Pengarah Pusat Penyelidikan PAS itu yakin mereka mampu memainkan peranan itu memandangkan negara sedang menuju ke arah sistem kerajaan campuran (multi-party system), di mana tiada gabungan yang mampu membentuk kerajaan kukuh secara bersendirian.
“PAS akan menyertai PRU akan datang sebagai Gagasan Sejahtera dengan Ikatan (Parti Ikatan Bangsa Malaysia), dan cuba memenangi sebanyak mungkin kerusi. Sasaran kita adalah (membentuk) gabungan pasca pilihan raya.
“Mungkin kerusi yang dimenangi Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) tidak cukup untuk membentuk kerajaan. Ketika itu, kita akan melihat gabungan mana paling boleh berkompromi dan menghormati kita,” katanya.
Beliau mengulas gesaan Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali untuk PAS kekal dalam keadaan sedia ada, iaitu tidak bekerjasama dengan BN atau PH dan menjadi pengimbang kerajaan selepas PRU nanti.
“Sebab itu saya kata PAS perlu berada di kedudukan sekarang kerana dia boleh jadi pengimbang di mana ada dua parti dalam kerajaan pemerintah nanti.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu mengambil contoh Indonesia, di mana beberapa parti akan bekerjasama menubuhkan sebuah kerajaan campuran setiap kali selesai Pemilihan Umum (Pemilu).
“Kebetulan Malaysia juga merupakan sebuah negara membangun. Tetapi banyak negara maju yang beralih kepada sistem kerajaan campuran kerana sistem 2 parti ada kelemahannya,” katanya sambil mengingatkan PAS terpaksa berkompromi daripada segi idealogi dan dasar ketika menyertai Pakatan Rakyat.
Ketika itu, Malaysia yang selama ini didominasi BN dikatakan menuju sistem 2 parti, iaitu BN dan Pakatan Rakyat adalah kuasa politik utama.
Zuhdi berkata, selepas membentuk gabungan dengan pakatan parti lain, PAS akan meneruskan dasar serta agenda sedia ada dan tidak akan berkompromi dalam isu membabitkan hak orang Melayu dan Islam, termasuk usul rang undang-undang persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 yang dibentangkan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat.
“Kita tidak akan berkompromi dengan tonggak Perlembagaan Persekutuan, iaitu hak istimewa Melayu dan Islam serta kedudukan raja-raja Melayu. Begitu juga RUU 355 yang sebenarnya termasuk dalam aspek Islam sebagai agama persekutuan.
“Dan ia juga perlu ditunjukkan secara jelas, bukan sekadar atas kertas seperti ketika Pakatan Rakyat dulu. Buku Jingga menggariskan hak Melayu dan Islam, tetapi semangatnya tidak didokong DAP yang mendominasinya.”
PAS sebelum ini dilaporkan tiada masalah bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan PKR, tetapi bertegas tidak akan menyertai PH kerana enggan bersama DAP dan Amanah.
PAS mengumumkan kerjasama politik dengan Ikatan yang kini dikenali sebagai Gagasan Sejahtera, pada 13 Ogos lalu. - Free Malaysia Today.

Jom Monetize Aplikasi Anda Dengan StartApp

Dimsum : Must watch for Asian drama

Share this :

Previous
Next Post »