Terima Kasih Anak Muda Bantu Saya 18 Tahun Lepas - Cikgu Mencari 2 Kanak-Kanak Yang Menyelamatkan Dirinya & Anak-Anak..

Oleh : Wan Shahriza
Lebih kurang 3km dari MRSM Kuantan, terdapat Mini Zoo yang diurus-selia oleh Majlis Perbandaran Kuantan. Letaknya di Taman Teruntum, berhampiran dengan Pantai Teluk Cempedak yang popular itu. Tapi mungkin ramai yang tidak sedar adanya mini zoo ini. 
Beberapa tahun lalu, MPK pernah juga buat program Nite Zoo pada setiap bulan di Taman Teruntum ini. Program yang agak mencuri perhatian masyarakat Kuantan yang mungkin tidak mempunyai banyak tempat rekreasi dan hiburan untuk aktiviti keluarga yang santai,
Teringat saya pada satu peristiwa yang pernah berlaku di sini. Tiba-tiba terasa ingin mengongsi peristiwa ini.
Berlaku berbelas tahun lalu. Waktu itu saya baru sahaja mempunyai dua anak, Ilham dan Intan. Suatu hari, saya membawa mereka ke Zoo Taman Teruntum ini. Kalau tak silap, Ilham waktu ini berusia 3 tahun, Intan 2 tahun. (Sekarang, Ilham sudah 21 tahun, Intan sudah 20 tahun)
Saya bawa mereka menaiki tangga seperti dalam gambar, dan membawa mereka menyusuri jalan2 di atas bukit di taman ini, di bawah pohon2 rendang, sambil melihat binatang2 yang ada di sana. Kawasan atas ini agak sunyi. Memang Zoo Teruntum ini tidaklah ramai pengunjung.
Ilham saya pimpin di sebelah tangan, Intan di sebelah tangan lagi satu. Tiba-tiba langkah kami terhenti. Ada sekumpulan monyet yang tiba-tiba datang menghampiri. Waktu itu memang kawasan Taman Teruntum ini dipenuhi komuniti monyer2 liar.
Panik saya. Kerana ada dua anak kecil bersama saya. Dan monyet2 ini pun memang kelihatan amat mengancam. Menyeringaikan taring, dan mengacah2 untuk menerkam. Malah ada yang besar sudah amat dekat dan menarik2 hujung kain baju kurung yang saya pakai.
Intan dan Ilham sudah ketakutan dan menangis. Menambahkan lagi agresif kumpulan monyet ini. Saya masih cuba melindungi dua anak saya, menarik mereka rapat, dan cuba menghalau monyet2 yang semakin berani dan kian ganas ini.
Waktu itu, ada satu lagi keluarga yang kebetulan berjalan di laluan kami. Hampir sampai ke tempat saya dan anak2 yg terhenti oleh ancaman monyet2 ini. Ada seorang bapa, seorang ibu dan juga dua anak mereka. Saya mengucapkan syukur dalam hati. Amat gembira saya melihat mereka. Kerana saya amat pasti inilah penyelamat kami.
Namun benarlah, pepatah Bahasa Inggeris ada berkata, "Don't count your chickens before they are hatched." Jangan cepat menghitung anak2 ayam sebelum mereka menetas.
Di luar dugaan saya, lelaki perkasa yang juga ketua keluarga itu mengambil tindakan peribadi berdasarkan perhitungan peribadinya. Segera dia menarik anak2 dan isterinya berundur dari kawasan yang sudah diputuskan berbahaya. Pastinya nyawa dan keselamatan keluarganya jauh lebih penting dari keselamatan seorang perempuan dan anak2 kecil yang langsung tidak dikenali di hadapannya ini.
Mereka hilang sepantasnya.
Dan saya kembali berhadapan ancaman sekumpulan monyet yang masih kelihatan akan menyerang pada bila-bila masa sahaja,
Cuma Allah Maha Mendengar, dan Maha Merancang.
Wira-wira penyelamat saya tiba pada masa saya sudah hampir berputus asa. Saya sudah hampir pasti monyet2 ini akan menyerang dan mencederakan kami. Dalam fikiran saya, saya sudah membuat rencana untuk melawan sehabisnya, dan melindungi anak2 saya sehabis kudrat yang saya ada.
Tapi, Allah kirimkan wira-wira kepada saya.
Wira-wira saya itu tiba-tiba tercegat beberapa meter daripada kami. Memang jelas mereka sengaja mendaki lereng curam itu untuk datang menghampiri. Mereka bukan terserempak seperti kumpulan keluarga yang baru menghindar tadi. Mereka memang berusaha untuk datang ke tempat saya. Mungkin mereka sudah memerhati apa yang berlaku kepada kami dalam beberapa minit itu,
Wira-wira saya itu, ialah dua orang budak lelaki berusia dalam lingkungan umur 9 atau 10 tahun, Tidak lebih dari itu. Hanya budak2 kecil yang juga kelihatan takut-takut dan tidak pasti. Tapi ada sesuatu dalam diri mereka yang membuatkan mereka datang dengan misi menyelamat.
Dengan serentak menjerit, dan menghentakkan kaki ke tanah berulang2, dua kanak2 ini mengalih perhatian sekumpulan monyet tadi, daripada kami kepada mereka. Dan monyet2 ini kelihatan menganalisis suasana. Pastinya wira2 saya tampil seperti wira2 penyelamat dunia kepada monyet2 ini, kerana dalam beberapa saat sahaja, monyet2 ini sudah berundur dan melarikan diri.
Dan saya tidak menunggu lama, sebelum monyet ini kembali lagi, segera saya tarik anak2 saya dan berlari laju ke kereta. Dua orang budak lelaki tadi juga sudah beredar pantas. Tidak saya nampak ke arah mana mereka pergi.
Sudah 18 tahun berlalu peristiwa ini. Tapi setiap kali saya ke Taman Teruntum, saya masih akan selalu mengingat episod ini. Masih terbayang keluarga yang beredar. Dan tidak mampu juga saya lupakan dua orang budak kecil yang berjiwa amat besar. Di usia kecil itu, mereka mengajar seorang dewasa seperti saya tentang nilai2 kemanusiaan dan keihsanan. Betapa mereka mengenepikan keselamatan diri sendiri, dan menguatkan keberanian mereka untuk datang membantu. Dan di usia sebegitu, mereka tidak melakukan atas nama sebarang prinsip atau ideologi.
Mereka melakukan tanpa disuruh dan dipaksa. Tanpa ada kilauan lensa2 kamera. Tanpa ada janji2 untuk upah dan puji puja,
Mereka wira2 sejati.
Saya tidak pernah berpeluang mengucapkan terima kasih kepada wira-wira saya itu. Tidak berpeluang untuk menemui ibu bapa mereka dan mengucapkan tahniah kerana telah melahirkan insan2 budiman berjiwa luhur seperti anak2 mereka. Tetapi bukan sekali dalam doa, saya memohon kesejahteraan mereka. Agar Allah kurniakan kehidupan dunia dan akhirat terbaik untuk mereka.
Mungkin sekarang sudah berusia dalam 30 tahun kedua2 mereka. Dan saya pasti, jika di usia kecil mereka sudah punya jiwa murni dengan semangat untuk membantu insan lain dalam kesusahan, di usia dewasa ini mereka tentunya sudah menjadi manusia berguna, yang punya prinsip kemanusiaan yang terhormat. Pastinya mereka ialah insan2 yang sedang menyumbang kepada masyarakat, agama dan negara mereka,
Jika ada antara anda yang sedang membacakan ini, yang mungkin merasakan andalah antara dua orang budak kecil di Taman Teruntum itu yang menyelamatkan saya dan dua anak saya waktu itu, saya berhutang terima kasih dan rasa penghormatan ini kepada anda.
Dengan tangan kanan saya silangkan di dada, dan kepala yang saya tundukkan sedikit, dari sudut hati paling dalam, terimalah ucapan yang tertunda hampir 20 tahun ini,
"Terima kasih, anak muda."

Jom Monetize Aplikasi Anda Dengan StartApp

Dimsum : Must watch for Asian drama

Share this :

Previous
Next Post »