Betul Ke Wanita Mengandung & Ibu Menyusu Tak Boleh Minum Air Kelapa? Baca Penjelasan Ini.

Oleh : Dziehan Mustafa

AIR KELAPA DENGAN UBAT-UBATAN 

"Jangan minum air kelapa dengan ubat, nanti ubat tu tidak berkesan" Pesanan yang sering kita dengari terutama daripada golongan orang-orang tua kita. Ramai yang bertanya, betul ke minum air kelapa bersama-sama ubat-ubatan akan mengurangkan keberkesanan sesuatu ubat itu? 


Soalan ini nampak mudah namun ia sebenarnya bermaksud interaksi antara ubat dengan minuman. Secara umumnya interaksi boleh memberi kesan sama ada meningkatkan kesan ubat dalam tubuh badan atau mengurangkan kesannya.

Air kelapa 

Air yang terkandung di dalam tempurung kelapa muda. Sedang elok jika diambil ketika buah kelapa berumur 5-7 bulan. Secara semula jadi air kelapa berasa manis namun mempunyai nilai kalori yang rendah. 

Kandungan air kelapa adalah 94% air dan mengandungi karbohidrat ringkas yang mudah dicernakan dalam bentuk gula dan elektrolit. Selain daripada itu ia juga mengandungi pelbagai jenis hormon tumbuh-tumbuhan, enzim, asid amino, vitamin c dan boleh menjadi sumber yang baik untuk garam potasium (K+).

Khasiat Air Kelapa 

Air kelapa selalunya diambil sebagai minuman untuk melegakan kehausan atau kekurangan air dalam tubuh yang disebabkan oleh cirit birit atau selepas senaman. 

Air kelapa juga juga pernah digunakan dalam situasi kecemasan sebagai pengganti kepada air yang digunakan untuk dehidrasi tubuh yang dimasukkan melalui suntikan Intravena (IV). 

Terdapat juga beberapa kajian yang menunjukkan air kelapa boleh mengurangkan tekanan darah sistolik dalam kalangan pesakit hipertensi (darah tinggi). 

Menurut kajian untuk khasiat menurunan tekanan darah sistolik ini memerlukan dos 300ml air kelapa diambil 2 kali dalam sehari. Walau bagaimanapun lebih banyak kajian pembuktian diperlukan untuk mengesahkan khasiat air kelapa terhadap manfaat kesihatan tubuh terutama dalam menurunkan tekanan darah tersebut.

Interaksi air kelapa dengan ubat, herba dan suplemen. 

Kajian klinikal peringkat awal menunjukkan minum air kelapa mungkin boleh mengurangkan tekanan darah sistolik dalam kalangan pesakit hipertensi (darah tinggi). 

Secara teorinya penggunaan bersama-sama air kelapa dengan ubat anti-herpentensi (Ubat mengurangkan tekanan darah) mungkin boleh menyebabkan kesan tambahan terhadap pengurangan tekanan darah seterusnya boleh memberi risiko tekanan darah menjadi rendah. 

Begitu juga sekiranya air kelapa diambil dengan herba dan suplemen yang dipercayai mempunyai kesan mengurangkan tekanan darah. Sebagai contoh peptida kasein, cat’s claw, koenzim Q-10, minyak ikan, L-arginine, lycium, stinging nettle, theanine, mengkudu, belimbing buluh dan lain-lain 

Interaksi dengan penyakit 

Oleh kerana air kelapa mempunyai kandungan garam potasium (k+) yang agak ketara maka ia boleh menerukkan lagi keadaan hiperkalemia seseorang individu. 

Jika diminum dalam satu jumlah yang banyak mungkin boleh meningkatkan risiko hyperkalemia bagi pesakit yang mempunyai kekurangan fungsi buah pinggang.

Keselamatan Air Kelapa 

Air kelapa sekiranya diambil secara minuman dengan jumlah yang berpatutan adalah selamat. Tiada kerisauan terhadap faktor keselamatan dalam pengambilan air kelapa. Begitu juga sekiranya air kelapa diambil oleh kanak-kanak. 

Namun tiada data yang mencukupi untuk keselamatan pengambilan air kelapa dalam kalangan wanita mengandung dan menyusukan anak. Sebagai langkah berjaga-jaga, lebih baik tidak mengambilnya semasa mengandung atau menyusukan anak. 

Tindakan yang boleh diambil 

Air kelapa adalah selamat untuk diminum. Walau bagaimanapun bagi pesakit hipertensi yang sedang menerima ubat-ubatan perlu berhati-hati dalam pengambilan minuman air kelapa ini. 

Jika diambil berlebihan air kelapa ini ia berpotensi mempunyai kesan tambahan dalam pengurangan tekanan darah. Begitu juga bagi pesakit yang mempunyai masalah kekurangan fungsi buah pingang. 

Perlu sedikit pemantauan jika tekanan darah menjadi rendah (hipotensi). Antara tanda dan gejala tekanan darah rendah adalah pening atau merasa pusing, penglihatan kabur, kekeliruan, kelemahan dan loya (perasaan sakit perut). 

Jika alami situasi di atas, sahkan dengan mengambil ukuran tekanan darah menggunakan alat pemantauan tekanan darah sendiri di rumah. Tekanan darah dikatakan rendah bila bacaan berada di paras lebih rendah dari 90/60 mmHg. 

Rawatan tidak diperlukan sekiranya tidak mempunyai apa-apa tanda dan gejala walaupun tekanan darah adalah rendah. 

Sekiranya merasa pening atau hampir pitam, ambil tindakan untuk duduk atau baring. Letakkan kaki separas dengan jantung ketika berbaring atau duduk sambil meletak kepala di antara lutut. Jika tanda atau gejala tekanan darah rendah masih berkekalan, segera berjumpa dengan doktor untuk rawatan selanjutnya. 

Kesimpulan 

Bukan air kelapa sahaja boleh dibincangkan dalam situasi interaksi ubat dengan minuman. Terdapat beberapa lagi contoh interaksi minuman dengan ubat-ubatan seperti interaksi ferus dengan susu, ubat anti-kolesterol (atorvastatin) dengan jus limau gedang (grapefruite) dan ubat warfarin dengan teh hijau. (Semua contoh ini telah dibuktikan dengan kajian). 

Justeru jika air kelapa diambil dalam kuantiti yang tidak berlebihan, mungkin interaksi dengan ubat-ubatan tidak terlalu ketara. Walau bagaimanapun perlu berhati-hati dalam pengambilan air kelapa (diambil dalam kuantiti yang berlebihan) jika ada mengambil ubat untuk tekanan darah tinggi dan pesakit yang mempunyai masalah kekurangan fungsi buah pingang. 

Rujuk dahulu dengan ahli farmasi atau doktor merawat sebelum mengambil sesuatu bersama-sama ubat-ubatan agar interaksi ubat dapat diteliti terlebih dahulu. 

Sekiranya orang awam mempunyai sebarang pertanyaan am berkaitan ubat-ubatan, boleh menguhubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan di talian 1800-88-6722.

Jom Monetize Aplikasi Anda Dengan StartApp

JualBeli Motor Dan Segala Kelengkapan Permotoran Disini

100Mbps Hanya RM149 Dengan Time Internet

BolehCompare : Portal Perbandingan Perkhidmatan Yang Pertama Di Malaysia

Share this :

Previous
Next Post »