Dan Bagaimana Polisi PTPTN Menyusahkan Pasangan Ini Serta Layanan MAS Yang Buruk..

Oleh : Aida Sofea

Pada saat ini, ramai yang ingat kami telah pun selamat sampai di Jepun dan sedang berseronok di sana. Ini kerana sepatutnya, penerbangan kami berlepas pada hari Isnin yang lepas. 

Namun hakikatnya, kami hanya mampu merancang. Mana mahu sangkakan percutian yang kami ini memang berjalan dengan lancar dan teratur sekali tiba-tiba kali ini kami diuji.



Paling sedih kejadian ini berlaku pada sambutan ulangtahun kami pula itu. Penerbangan kami sepatutnya pukul jam 9.50 pagi menaiki pesawat MAS. 

Pada kebiasaannya, kami akan pastikan sampai 3 jam lebih awal di airport untuk selesaikan segala urusan. Tetapi, entah kenapa kali ini, masing-masing agak relaks saja dan kami sampai di KLIA hanya 2 jam awal. Tepat pukul 9.00 pagi, ketika kami tiba di kaunter imigresen bermulalah masalah kami di sini. 

Ini kali pertama berlaku. Selalunya memang lepas tanpa sebarang masalah. Hati kami tidak tenang bila urusan mengambil masa agak lama. Tetiba pegawai imigresen tu cakap, nama kena block dengan PTPTN. Encik kena telefon pihak PTPTN untuk urusan ni

Mula-mulanya kami ingatkan suami saja yang kena, rupa-rupanya dua-dua pun kena block. Hairan juga kami sebab baru saja kami periksa hari itu dan nama kami memang clear. Kebetulan kami pun baru perbaharu passport kami dan masa itu pun, kami ada bertanya pengawai imigresen untuk pastikan dan mereka sahkan yang kami tiada sebarang masalah. 

Kami kesuntukan masa dan jam sudah menunjukkan pukul 9.10 pagi. Kami semakin tidak keruan. Bella yang pada awalnya tenang mula bising-bising dan merengek mahu naik pesawat. Suami cuba telefon dalam keadaan tenang untuk mendapatkan bantuan. Sangat mengejutkan dengan masa yang sangat kritikal, pihak PTPTN berkeras mahu kami langsaikan hutang berjumlah RM18,000 dengan segera.
Suami cuba berunding dan berjanji akan selesaikan sebaik saja kami pulang nanti. 

Memang niat kami mahu selesaikannya nanti memandangkan lepas ini kami akan ada trip lagi dan benda ini pasti berlaku lagi sekiranya tidak diselesaikan.
Mungkin ada yang akan bercakap, “Berjalan boleh, tapi PTPTN tak mau bayar.”

Bukan kami tidak bayar PTPTN itu, cuma mungkin pembayaran kami tak konsisten dan tidak begitu cantik. Tetapi, berapa ramai di luar sana peminjam tegar dan tidak bayar langsung PTPTN ini.. Bukanlah kami mahu pertikaikan.

Malas mahu cerita panjang isu PTPTN ini sebab bagaimana pun kami akui ini memang tanggungjawab kami. Tapi itu bukan isunya. Kami betul-betul sudah kesuntukan masa. Setelah sehabis baik cuba berunding, kami diminta untuk membuat bayaran juga yang jumlahnya mencecah hampir RM10,000.

Jam sudah menunjukkan pukul 9.30 pagi. Saya cakap pada suami, “Tidak perlu bayar sebab kita memang tak sempat nak kejar penerbangan. Kita lepaskan saja dan cari penyelesaian lain.”

Tetapi suami masih lagi berharap. Dia sedaya upaya untuk selesaikan masalah dan dalam masa yang sama juga kami meminta pertolongan pegawai imigresen untuk hubungi pintu berlepas supaya tunggu sekejap.

Memandangkan urusan saya selesai dulu, suami minta saya pergi dulu. Berlari saya dan anak menuju ke pintu C34. Suami cakap, kalau dia tidak sempat, dia suruh kami naik dulu dan kawan kami akan tunggu di sana. Dia akan beli tiket lain dan sampai lewat sedikit. Bayangkan sudah seperti orang gila kami lari mencari pintu C34 tu. Bukannya dekat.

Ketika dalam train nama kami sudah dipanggil. Ya Allah masa tu memang tawakal saja lah sambil berharap masih lagi sempat mahu kejar. 

Sampai-sampai pintu saja, tepat pukul 9.45 pagi. Saya terus jumpa pegawai yang bertugas di situ. Katanya kesemua bagasi kami telah pun dikeluarkan daripada pesawat. Saya merayu pada pegawai tersebut, namun katanya memang tidak boleh buat apa-apa lagi.
Saya terus telefon suami yang kebetulan baru saja mendapat kebenaran pegawai imigresen. Dia dengan semangat bercakap, “minta dorang tunggu kejap, sudah ODW ke sana.”

Saya terus beritahu suami perkara sebenar dan setibanya dia di pintu C34, saya nampak muka dia yang sangat kecewa. Masa itu kami memang binggung sekejap. Memandangkan kerugian kami masa itu, sudahlah kami sudah bayar segala kos penginapan, tiket-tiket di Tokyo dan Osaka untuk 10 hari di sana. Tidak termasuk dengan bayaran PTPTN sebanyak RM10,000 yang baru kami bayar tadi. Mahu fikiran beli tiket penerbangan lagi dan belum lagi memikirkan kos-kos perbelanjaan yang lain semasa di sana nanti.

Pada masa ini, ramai kawan-kawan kami yang cuba membantu kami dengan pelbagai cara. Tolong kami survey tiket murah dan sebagainya. Sementara itu, suami masih lagi berusaha untuk pastikan perjalan ini dapat diteruskan. Selepas apa yang berlaku, kami pergi ke kaunter MAS untuk meminta bantuan atas apa yang berlaku. Kalau tidak dapat replacement pun, mungkin boleh pertimbangkan alternatif lain seperti diskaun untuk tiket baru.

Kami merayu pada pihak MAS untuk membantu kami. Tetapi jawapan yang kami terima sangat menyakitkan hati, “Kalau missed flight, memang kami tidak dapat bantu dan tiada replacement atau diskaun dapat diberikan.”

Saya cuba perjelaskan keadaan kami kepada pihak MAS, “Bukan kami sengaja lambat tetapi sangkut di imigresen sebab isu PTPTN.”

Masalahnya, MAS boleh pertimbangkan atau pun tidak? Katanya, semua penerbangan ke Tokyo dan Osaka sudah habis ditempah dan tidak boleh berbuat apa-apa. Sakit hati kami masa ini jangan cakaplah, bukannya tiket pergi ke Bandung, Jakarta ataupun Krabi yang boleh kami pejam mata saja.

Bila kami berkeras mahu berjumpa dengan pengurus bertugas, jawapan yang diberikan adalah, “Oh, tidak boleh dan kalau jumpa pun memang tetap sama.”

Setelah kami merayu untuk berjumpa dengan pengurus mereka, akhirnya kami dibenarkan untuk berjumpa dengan dengan pengurus bertugas yang memang sedang menunggu kami. Kami pun ceritakan apa yang berlaku dan pengurus tersebut hanya menjawab, “Saya tidak boleh tolong sebab ini polisi baru kami. Pengurusan baru ini sangat tegas. Jumpa saya pun tidak guna juga sebab saya memang tidak boleh tolong.”

Mudahnya bagi jawapan macam itu tanpa cuba untuk bantu kami. Bukan harap tiket percuma dan sebagainya tapi cubalah bagi apa-apa cadangan dan bukannya tolak kami begitu sahaja. Penerbangan yang kami naiki dengan MAS pernah delay sebelum ini tak pernah pun kami mengeluh.

Korang delay penerbangan kami sesuka hati (Tokyo – KL) yang sepatutnya pulang pada 27 Mac tetapi pihak MAS tangguhkan sehingga 29 Mac. Kami tidak mengeluh dan kami terpaksa menempah penginapan tambahan berikutan pertukaran tarikh penerbangan ini meskipun terpaksa menanggung sendiri kos itu. Tetapi, kenapa tak boleh pertimbangkan langsung bila your penumpang ada masalah dan meminta bantuan dari pihak MAS?

Masing-masing sudah kepenatan dan kami membuat keputusan untuk balik ke rumah saja. Sampai saja di rumah, suami dihubungi oleh rakan bosnya, Mr Vicky dari Air Asia. Dia tahu kami missed flight dan katanya dia akan cuba bantu. Mr Vicky beritahu, “Malam ni ada penerbangan pukul 1.25 pagi ke Osaka. Penerbangan sudah penuh tetapi awak siap sedia saja .Harapan ada 50-50. Tapi saya sedaya upaya tolong you, you datang pukul 11.30 malam – 12.30 pagi nanti.”

Pukul 9.30 malam kami sudah keluar rumah menuju ke KLIA2. Mr Vicky minta kami tunggu dia dan sementara tu kami pergi makan. Sebenarnya masa ini sudah sedikit berputus asa. Saya sudah tiada perasaan mahu ke Jepun lagi. Rasa sebak saja bila tengok anak kepenatan dan dalam masa yang sama dia terlampau teruja mahu bercuti.
Saya beritahu suami kalau harga tiket terlalu mahal, tidak perlu ambil. 

Sebab di sana nanti, banyak lagi perbelanjaan yang perlu dikeluarkan. Saya cadangkan pada suami untuk tukar percutian kami ke Krabi atau ke Bandung. Sekurangnya dengan harga tiket ke Japan dapat tampung segala benda di tempat tersebut. Saya juga beritahu pada suami yang kita baru saja keluarkan sejumlah wang yang agak besar. 

Balik dari bercuti ini pun banyak payment yang harus kita standby. Suami hanya diam saja dan saya tahu hatinya memang mahu sangat ke sana dan akhirnya dia seolah-olah terpaksa bersetuju. 

Tepat pukul 12.30 pagi Mr Vicky sampai dan menemui kami. Dia yang sepatutnya habis kerja pukul 11 malam terus hubungi rakannya Mr. Ukay dari Servicing Counter serta seorang stafnya yang hanya dikenali sebagai Abang Botak. 

Setibanya di kaunter, semakan pada penerbangan ke Osaka dilakukan segera oleh Abang Botak dan Mr Ukay dan memaklumkan kepada kami ada beberapa kekosongan kerana ada pembatalan di saat akhir dan kami juga diberitahu harga tiket termasuk bagasi adalah RM4,800 dan dengan berat hati kami terpaksa tolak tiket ini kerana harganya agak mahal. Kami bukan mahu bandingkan MAS dengan AirAsia. Tidak sama sekali. Kami tak dibayar pun untuk bercerita tentang mereka. 

Tapi yang buat kami terharu adalah usaha mereka untuk membantu kami. Apa-apa pun setinggi ucapan terima kasih pada Mr Vicky, dari Safety Department serta Mr Ukay, pengurus bertugas dan tidak ketinggalan Abang Botak dari Servicing Counter kerana cuba sedaya upaya bantu kami untuk mendapatkan tiket dan melepaskan kami ke Osaka hari yang sama. 

Pujian harus diberikan kerana cuba memahami dan membantu utk selesaikan masalah yang kami hadapi.Kami balik rumah dengan hati yang sangat tenang tetapi keletihan. Fikir balik mahu tidur saja sebab seharian di airport

Dua kali patah balik ke rumah. Keesokkannya setelah puas berfikir dan mengambil kira banyak benda, kami membuat keputusan untuk ke Jepun juga akhirnya. Kebetulan ada tiket transit untuk 3 orang yang hanya RM3,000. 

Ketika korang membaca cerita ni, kami sedang menunggu flight ke Manila, Philippines dan akan ke Osaka keesokkannya. Perjalanan mmg mengambil masa yang agak lama sedikit tapi takpela yang penting kami enjoy.

Buat sahabat-sahabat kami yang sangat baik, yang membantu melancarkan urusan perjalanan kami juga sahabat kami yang sudah sampai beberapa hari lebih awal di bumi Jepun menunggu kami, terima kasih tidak terhingga kami ucapkan. Tiada siapa dapat membalasnya melainkan Allah SWT. Terima kasih Allah menghadirkan orang-orang yang baik buat kami. 

Moga dipermudahkan segalanya buat kami dan perjalanan selamat pergi dan balik. Kami hanya sekadar berkongsi. Maaf cerita ini terlalu panjang dan terima kasih korang membacanya sampai habis.

Jom Monetize Aplikasi Anda Dengan StartApp

Dimsum : Must watch for Asian drama

Share this :

Previous
Next Post »