Malu, Panik, Naik Gila Ditahan Imigresen Kerana Hutang PTPTN RM1,000.

Oleh : Nizha Periaswamy

Malunya bila kena tahan di kaunter pelepasan imigresen. Panik dan naik gila bila diarah ke sebuah bilik berkaca, bilik imigresen. 

Di sana saya dihalang keluar negara kerana hutang PTPTN belum langsai. Waktu ketika itu 5.30 pagi, penerbangan pukul 6.20 pagi dan saya periksa baki PTPTN, hanyalah sekitar RM1,200. 

Gambar Oleh Google
Marah pun ada bila kena tahan, rasa dianiaya, tak adil…. Mengenang kejadian pada Jun 2016, saya bersama suami dan 2 anak yang masih kecil ke Chennai, Tamil Nadu untuk melangsungkan perkahwinan adik ipar di sana. 

Di tangan saya junjung 2 beg, salah satu simpan dokumen perjalanan, wang dan barang kemas pengantin perempuan, diri sendiri dan anak perempuan. Mana tidaknya saya naik gila bila kena tahan! 

Di satu sudut saya dalam bilik cuba menghubungi pegawai PTPTN, tiada yang jawab, pukul 5.30 pagi kot. Di satu lagi sudut suami sedang menenangkan anak yang menangis bila dapat tahu saya “tak boleh jalan”. 

Di bilik yang sama kelihatan sepasang suami isteri dan beberapa orang asing. Si isteri itu ditahan atas alasan sama. Dia dalam penerbangan ke Kerala untuk menemani suaminya menjalani rawatan perubatan Ayurveda. Saya nampak si isteri menghulur kepingan duit dolar Amerika kepada suaminya. Mengalirkan air mata dia kata, “Abang pergi dulu, saya akan ikut dalam penerbangan seterusnya. Jangan lupa makan ubat, jaga diri. Kalau pening ke apa, beritahu pramugari, jaga diri,” pesannya. 

Selepas berjaya memujuk anak dan sampaikan barang kemas serta sedikit wang kepada suami. Beratus ribu kali saya pesan agar suami menjaga anak dan barang kemas. “Kalau nak kencing pun, bawa masuk anak dalam tandas. Tak payah malu-malu. Yang penting jangan tinggalkan anak atau beg ini,” itu pesanan saya. 

Saya tak mahu putus asa, saya mesti pergi. Anak saya menangis, ini pertama kali saya bawa mereka dan seluruh keluarga sudah pun menunggu ketibaan kami di Chennai. 

Saya hantar mesej Whatsapp kepada grup rakan wartawan tempat kerja, minta nombor pegawai media PTPTN. Waktu itu 10 minit sudah berlalu, saya fikir kalau mesej saya akan balas? Dalam kurang seminit saya terima mesej balas. 

Wartawan itu kongsi nombor pegawai kanan PTPTN yang berpangkat Datuk. “(Menelan air liur) Datuk pun Datuklah, saya terdesak, saya terpaksa,” bisik hati sebelum buat panggilan. Nasib menyebelahi saya, panggilan dijawab pada kali ke-3. 

Perkenalkan diri sebagai wartawan saya minta bantuan beliau. “Datuk, kalau baki saya tinggi, saya sedia tanggung risiko ini, tapi baki saya hanya sekitar RM1,200. Takkan saya dikenakan hukuman ini? Lagipun rekod saya selama ini bersih,” saya terus merayu minta tolong. Datuk yang baik hati itu memberi nombor telefon pembantunya, minta uruskan perkara ini. 

Saya segera menghubungi pegawai pembantu itu dan jelaskan segala-galanya. Beliau percayakan saya, lagipun Datuk itu sendiri sudah menghubungi pegawai itu minta uruskan perkara ini. 

Sementara itu saya arahkan adik saya supaya buat bayaran talian atau terus ke kaunter PTPTN. Waktu menunjukkan 6.15 pagi dan pegawai tersebut lepas tangan kerana semua kakitangan PTPTN yang menjaga sistem tidak menjawab panggilannya. 

Saya berdoa supaya pegawai yang ada akses dalam sistem dan tekan butang “membebaskan” saya daripada senarai hitam. 

“Sorrylah Nizha, saya pun tak boleh nak bantu sebab tiada yang jawab,” kata pegawai itu. Saya hubungi suami, “You go first. Saya akan cuba ambil penerbangan seterusnya, kalau tak ke Chennai, saya ambil ke Tiruchi atau Bangalore atau mana-mana lapangan terdekat. Jangan risau, jaga anak.” 

Jam menunjukkan tepat 6.20 pagi, ketika itu saya di kaunter tiket Malindo dan terima panggilan daripada pegawai yang sama. “Nizha, nama you dah lepas. Cepat go and get your flight!,” katanya. 

“Terima kasih, terima kasih, saya dah minta adik buat bayaran, any legalities saya akan selesaikan sebaik land down,” kata saya, segera putuskan panggilan itu dan menelefon suami. Mustahil tetapi suami berjaya memujuk kapten memberinya sedikit masa. 

Saya pula berlari sepantas yang mungkin, minta kebenaran memintas “Q” di kaunter imigresen dan sampai di pintu masuk 15 minit lewat. Mujur, mereka benarkan saya masuk. Dengan muka tak malu, saya minta maaf kepada penumpang lain dan terus peluk anak-anak saya. 

Sebaik pulang, adik hulur resit bayaran PTPTN sekitar RM1,000 selepas diskaun kerana buat bayaran penuh. “Kak, saya bayar habis hutang saya sekali sekitar RM7,000. Kalau saya kena tahan tiada orang yang nak tolong,” katanya. 

Selama ini, saya membayar secara pemotongan gaji bulanan di tempat kerja lama, masuk tempat baharu setahun yang lepas, potongan tergendala. Selepas itu saya buat 2 kali bayaran sekitar RM300-RM500, namun sistem tetap menyenarai hitam saya. Ia mungkin satu pengajaran kepada saya. 

Saya kongsi kisah ini kepada saudara-mara, kenalan dan rakan supaya tidak ambil remeh pasal bayaran PTPTN. Kalau hutang RM1,000 pun boleh tahan apatah lagi berbelas ribu.

Jom Monetize Aplikasi Anda Dengan StartApp

Dimsum : Must watch for Asian drama

Share this :

Previous
Next Post »