Pegawai AADK Kongsikan 3 Gambar - Betapa Teruknya Masalah Ketagihan Dadah!

Oleh : Nadia Hazmi
Dipakaikan kemeja kotak-kotak, dipakaikan T-shirt belang. Ibu bapakah yang memilih warnanya? Salah guru / sistem pendidikankah yang mengarah baju itu ditukar seragam sekolah lalu menukar warna peribadi si anak? Atau salah agensi yang lemah mentadbir penguatkuasaannya. Atau nak salahkan Najib juga.. Gambar di bawah ini ada ceritanya.
Tugas kami dalam pemulihan dadah ni tak sama seperti pejabat-pejabat yang lain, apa yang disantuni saban hari tak seperti yang dihadapi yg lain. Insan-insan yang melangkah masuk melapor diri bukanlah orang ‘biasa’ untuk perhatian yang biasa-biasa. Siapa yang kami santuni adalah realiti tenatnya masyarakat kini yang jarang tampak di mata awam. Apa yang Kak Nad nak kongsi hari ni, tentang REALITI YANG PEDIH. 
Kisah Gambar 1: Ibu Mohon Anak Remajanya Berubah

Remaja ini ditahan kerana aduan dari keluarganya sendiri kerana tidak tahan melihat keadaan si anak. Kesan penagihan yang tidak dapat lagi dikawal. Hadir ibu dan bapanya yang kami yakin dari kategori orang yang baik-baik.
Jelas kelihatan di gambar, ada dua tangan yang menggenggam erat tangan si anak. Itu adalah tangan ibu dan bapanya yang bercucuran air mata merayu pada anak mohon anak berubah.. berhenti menagih. Air mata ibulah yang paling banyak tumpah di sini.
Salah ibukah yang melahirkan dia? Tanya diri..

Kisah Gambar 2: ‘Mak Makan Dadah’


Lihat senyuman anak kecil ini, senyuman paling naif, polos dan suci. Dia tidak mengetahui apa-apa sedangkan ibunya sedang ditahan untuk siasatan, untuk menjalani pemulihan.

Bila Kak Nad soal si kecil ini, mak mana? ‘Mak makan dadah’ Sambil masukkan gula-gula dalam poket bajunya. Allah sahaja yang tahu koyaknya hati ni mendengarnya.
Seusia anak sendiri, 3 tahun. Si kecil ini sudah mampu bicara ‘dadah’. Kata si ibu, si kecil ini jugalah yang kerap merayunya dengan kata-kata.. “Mak, Janganlah makan dadah lagi..” Tapi, apa ibu peduli?
Lihat senyuman ini, tahukah anda anak ini baru sahaja lepas menangis sehabis hati selepas ditampar kuat neneknya di pipi hanya kerana membuat bising di pejabat ini.
Kak Nad bawa masuk ke bilik dan pujuk dengan gula-gula. ‘Ini sahaja yang termampu nak.. tenangkan jiwamu..’ sambil hati menangis mengenang nasibmu.
Salah anak inikah dilahir ke dunia? Baru lihat senyumannya hati mampu cair, belum lagi ditenung mata sifar dosanya. Apa andaian anda yang bakal terjadi padanya membesar seperti itu, dengan ibu itu. Dalam keadaan itu.. nauzubilahuminzalik.. Moga Allah lindungi dia.

Kisah Gambar 3: ‘Kak.. Dadah Ni la Yang Ayah Saya Makan’

Sewaktu pameran di sebuah kampung, selesai ceramah untuk orang awam datang si kecil ni.. 5 tahun, pra sekolah katanya. Datang pada Kak Nad, “Kak.. dadah tok lah dimakan bapak kamek” (bahasa Sarawak) “Kak, dadah ni la yang ayah saya makan”.

Ada kat rumah, sambil tunjuk gambar dadah dan jarum suntikan dari brosur yang diambil dari pameran kami.. Allah.. 5 tahun usianya sudah kenal dan lihat dengan mata sendiri dadah keji itu.
Kak Nad tanya apa yang adik buat dengan barang-barang ni kalau jumpa. “saya ambil bawa main dengan kawan, suntik kat ikan, tanam dalam tanah”..
Ini realiti dan hakikat anak kita, generasi kita. Kita hanya diam. Menang di papan kunci. Hanya menunding jari. Salah dia salah ibubapa, salah guru, salah agensi salah menteri. Tapi apa salah kita? Sebenarnya salah siapa?
Pencegahan dadah bermula di RUMAH. RUMAH. RUMAH.

Share this :

Previous
Next Post »