"Dari Mana JAKIM Pungut Dia? Saya Arah JAINJ Jangan Berurusan Dengan JAKIM," - Sultan Johor.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah supaya Jabatan Agama Islam Negeri Johor (Jainj) tidak lagi berurusan dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) selepas ini.


Baginda juga bertitah, Jakim turut tidak perlu memberikan pandangan kepada negeri Johor, yang mana semua orang tahu urusan berkaitan dengan agama adalah di bawah kuasa negeri seperti yang termaktub dalam perjanjian Persekutuan.

Sultan Ibrahim berkata demikian susulan Pegawai Kader Jakim, Dr Zamihan Mat Zin  mengkritik baginda mengenai isu dobi mesra muslim di Muar, yang tular di media sosial baru-baru ini.

"Beberapa orang mufti dan pakar agama telah keluarkan pandangan dan hujah mereka berkaitan perkara ini, namun malangnya ada pula seorang penceramah bernama Ustaz Zamihan Mat Zin yang mengkritik tindakan saya dan memperlekeh mufti-mufti tersebut.

"Gaya cakapnya sangat angkuh dan sombong, seolah-olah dia sahaja yang betul dan mencerca bangsa lain.

"Saya anggap dia hanya seperti tin kosong yang tidak ada otak," titah Sultan Ibrahim ketika Majlis Konvokesyen Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) kali ke-17, hari ini.

Titah Sultan Ibrahim,  Zamihan juga berbohong selepas cuba menafikan yang beliau menyebut perkara itu setelah dikecam orang ramai.

"Nampaknya ustaz ini dah pandai berbohong pula, macam mana kita nak belajar dengan dia. Jangan nak temberang dengan saya, lepas ini cukuplah berceramah depan cermin sahaja untuk kenal diri sendiri.

"Kalau betul dia penceramah Jakim saya tidak tahu dari mana Jakim pungut dia, selepas ini juga saya mengarahkan Jainj tidak perlu lagi buang masa berurusan dengan Jakim," titah baginda.

Sumber : Sinar Harian

Share this :

Previous
Next Post »