Fatwa Larangan Gunting Rambut Oleh Bukan Islam - Ini Penjelasan Ustaz Shahul Hamid.

Oleh : Wanji Wan Husin
BERBINCANG DENGAN USTAZ SHAHUL HAMID
Selesai program wacana "Ulama Lawan Rasuah", anjuran kerajaan Pulau Pinang di pejabat Penang Institute, saya terus menunggang motosikal menuju ke Maahad Tahfiz Darul Tahzib untuk berjumpa dengan Ustaz Shahul Hamid untuk mendengar sendiri penjelasan beliau berkenaan isu "fatwa" larangan gunting rambut perempuan muslim oleh perempuan bukan Islam.

Perjalanan hampir 40 minit, dalam pukul 2 petang, saya sampai di maahad beliau. Saya menyatakan bahawa saya belum lagi menunaikan solat zohor. Beliau menyatakan bahawa beliau juga belum lagi menunaikan solat. Makanya, kami pun menunaikan solat berjemaah.
Beliau meminta saya menjadi imam dengan alasan mahu mendapat berkat tetamu. Saya menolak dan meminta beliau menjadi imam sebagai "Tuan Rumah". Kami menunaikan solat jemaah dengan beliau menjadi imam.
Setelah solat berjemaah, beliau ajak saya makan bersama beliau. Pada peringkat awal, saya menolak kerana saya sudah makan. Namun, atas permintaan beliau agar saya menemani beliau makan, kami makan satu talam. Selesai makan, sambil minum teh dan berbual dan bertanya khabar satu dengan yang lain dan berbincang berkenaan isu yang sedang hangat itu.
Alhamdulillah, perbincangan kami berkenaan isu yang sedang hangat itu berjaya diselesaikan dalam jangka hampir satu jam setengah. Hasil perbincangan itu, antara perkara menarik yang dapat dikongsikan adalah;
1. Video terbabit adalah video lama yang sudah bertahun-tahun lepas. Justeru, beliau terkejut apabila timbul isu tersebut pada kala ini.
2. Beliau menyatakan bahawa pandangan yang melarang rambut perempuan Islam digunting oleh perempuan bukan Islam adalah merujuk kepada mazhab Syafie.
3. Beliau menyatakan juga bahawa semasa beliau mempunyai Tauliah mengajar agama di Pulau Pinang. Beliau ambil Tauliah semasa Mufti Pulau Pinang adalah Dato' Hasan bin Ahmad, iaitu sebelum SS mufti Dato' Wan Salim menjadi mufti lagi. Menurut beliau, mufti ketika itu berpesan agar mengajar mesti menggunakan mazhab Syafie. Justeru itu, beliau mengemukakan perkara ini dengan merujuk kepada mazhab Syafie.
4. Membawa pendekatan Islam rahmat sekelian Alam di negeri pulau Pinang; dengan mengambil pendekatan damai hubungan baik antara muslim dan Non Muslim di Negeri Pulau Pinang, saya berkongsi dengan beliau bahawa di sana terdapat pandangan ulama bernama al-Imam al-Mardawi menerusi kitab al-Insaf yang menyatakan tidak larangan perempuan Non Muslim menggunting rambut perempuan muslim. Beliau menerima pandangan tersebut dengan hati yang terbuka.
5. Di akhir perbincangan kami, beliau menyatakan kesediaan untuk memohon maaf kepada masyarakat bukan Islam yang terguris hati dengan kandungan video tersebut. Beliau menyatakan bahawa beliau menukilkan pandangan tersebut bukan dengan sengaja mahu mengguris hati Non Muslim di Pulau Pinang, tetapi hanya menukilkan pandangan ulama dari mazhab Syafie. Bahkan, beliau tidak menyangka pun bahawa ia menjadi isu.
6. Beliau berjanji bahawa selepas ini akan lebih berhati-hati dalam menyatakan pandangan fiqh Islam semasa mengajar. Dan secara dasarnya, beliau mendokong pendekatan rahmat sekelian alam yang diperkenalkan oleh kerajaan Negeri pulau Pinang.
Wallahu A'lam.

Share this :

Previous
Next Post »