Jika Ada 'Beguk' Jangan Ke Sekolah Kata KKM.

Kementerian Kesihatan hari ini mengingatkan pesakit demam beguk terutamanya kanak-kanak untuk tidak ke tempat terbuka seperti sekolah bagi memastikan gejala itu tidak merebak serta menjangkiti rakan mereka yang tidak mempunyai imuniti.


Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya berkata, jabatan kesihatan di setiap daerah kini sedang menjalankan pemantauan selain mengambil langkah tambahan bagi memastikan penyakit tersebut dapat dikawal.
"Orang ramai tidak perlu panik dan bimbang kerana penyakit demam beguk merupakan gejala ringan tetapi ibu bapa dinasihatkan tidak menghantar anak-anak mereka yang terkena penyakit itu ke tempat terbuka terutamanya sekolah kerana dikhuatiri dijangkiti pelajar lain," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Balik Pulau ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Apresisasi Negaraku Sehati Sejiwa 2017 Anjuran Jabatan Penerangan negeri di sini hari ini.
Semalam, Kementerian Kesihatan menafikan dakwaan berhubung seorang pelajar di Putrajaya menghidapi demam beguk akibat dijangkiti virus dari Arab Saudi dan dikaitkan dengan jemaah haji yang baru pulang dari tanah suci.
Pada 25 Julai lalu, seramai 11 murid Sekolah Kebangsaan 11 (2) Presint 11, Putrajaya disahkan menghidapi penyakit itu sementara 17 kes lagi dilaporkan selepas itu membabitkan sekolah sama.
Demam beguk berpunca daripada jangkitan virus 'Paramyxovirus' dan boleh menyebabkan pesakit mengalami demam, sakit kepala, sakit otot, keletihan, hilang selera makan dan bengkak serta sakit di kelenjar parotid (kelenjar air liur).
Hilmi menasihatkan orang ramai terutama kanak-kanak yang tidak mempunyai imuniti dan mengalami penyakit beguk untuk mendapatkan rawatan di klinik atau hospital berdekatan bagi mengelakkan gejala berkenaan menjadi lebih teruk. 
Sumber : Utusan Online

Share this :

Previous
Next Post »