Kerajaan Kaji Jangka Hayat Kenderaan, Mahu Bagi Insentif Untuk Pemilik Lupuskan Kereta Lama..

Oleh : Bernama
 
Kementerian Pengangkutan kini sedang melakukan kajian polisi baru bagi jangka hayat sebuah kenderaan.

Menurut Datuk Seri Liow Tiong Lai, kajian itu kini berada di peringkat akhir.

Jelasnya kajian itu, yang turut mengandungi cadangan pemberian insentif bagi menukar kenderaan lama kepada baharu, perlu mendapat kelulusan Kabinet terlebih dahulu sebelum dibentang di Parlimen.
 
 
"Kita tidak letakkan jangkaan tempoh untuk laksanakan polisi ini kerana kita tahu ia membabitkan pelbagai perkara selain perlu meminda undang-undang pengangkutan terutamanya Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Bagaimanapun, kita memahami kebimbangan rakyat kerana semakin ‘berusia’ kenderaan itu, semakin banyak isu atau masalah yang timbul,” katanya selepas merasmikan Konvesyen MCA Perak 2017 di Ipoh, semalam.

Menurutnya, sekiranya polisi itu dilaksanakan, Kementerian Pengangkutan akan menentukan jangka hayat sesebuah kenderaan selain pemberian insentif kepada pemilik yang mahu menamatkan jangka hayat kenderaan mereka.

"Kita mungkin bagi rebat atau wang tunai kepada mereka yang bersedia melakukan penamatan itu dan bagi kita, ia antara cara terbaik untuk mengurangkan jumlah kenderaan lama di atas jalan raya," katanya.

Selain itu, katanya, banyak aduan yang diterima daripada pelbagai jabatan dan agensi yang mahu polisi baharu itu diperkenalkan dengan segera bagi mengurangkan masalah kenderaan terbengkalai.

Tambahnya,  kenderaan terbengkalai itu boleh mendatangkan pelbagai masalah dan ada laporan menyatakan bahawa ia menjadi tempat takungan hingga menyebabkan berlakunya penyakit denggi.

Share this :

Previous
Next Post »