Kesian, Boy Iman Direman Lagi - Kali Kelima Berturut-Turut!

Pengarah Urusan DBI Properties, Datuk Nuruliman A Rahman atau Boy Iman direman semula untuk kali kelima selama dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes penipuan perumahan membabitkan kerugian RM6.8 juta lapor Sinar Harian hari ini. 


Menurut laporan portal itu, perintah reman dikeluarkan Majistret Kanan Mahkamah Jitra, Mohd Hadi Hakimi Harun, pagi tadi. Turut direman, tiga pengarah syarikat Juta Kelulut Global Resources berusia antara 30 hingga 45 tahun, termasuk seorang wanita. Mereka adalah Kassim Arunasalam, Muhammad Umar Abdul Jamil dan Siti Norbaiyah Yahya atau dikenali sebagai Datuk Anggun. 

Kesemua mereka tiba dari lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Petani dengan berpakaian lokap sekitar 9.00 pagi dengan tangan bergari dan diiringi anggota polis. Boy Iman diwakili peguam, Ummi Kalthum Zakaria manakala tiga yang lain diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Zuriah Mohd Nordin. 

Mereka akan ditempatkan di lokap IPD Kubang Pasu, sebelum diserahkan pula ke IPD Langkawi. Pelakon itu dikenakan tahanan reman selepas melalui proses sama di Ampang, Selangor, Muar (Johor), Shah Alam (Selangor) dan Sungai Petani (Kedah). 

Pada 2 Oktober lalu, Boy Iman dan tiga yang lain ditahan susulan 188 laporan polis oleh mangsa yang mendakwa ditipu dua syarikat yang menawarkan rumah pada harga lebih rendah berbanding harga pasaran iaitu sekitar RM60,000 untuk banglo berkeluasan 1,650 kaki persegi. 

 Sehingga Jumaat lalu, jumlah laporan polis dibuat mangsa bertambah kepada 210 laporan di seluruh negara, membabitkan projek di Negeri Sembilan, Johor dan Selangor. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Share this :

Previous
Next Post »