4 Sekeluarga Diserang, 3 Mati Dibunuh Kejam, Seorang Lagi Masih Kritikal.

Oleh : Bernama

Tiga beranak ditemui mati dibunuh di sebuah rumah yang dijadikan stor barangan hardware kepunyaan keluarga itu di Taman Bahagia, Wakaf Mek Zainab di Kota Bharu semalam.
Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Din Ahmad berkata mangsa adalah Kha Eng Ni, 42, dan isteri, Chua Joo Seok, 43, serta anak lelaki mereka, Kha Zee Hanz, 13.
“Pasangan terbabit dipercayai ditikam beberapa kali menggunakan senjata tajam di bahagian dada manakala anak lelaki mereka maut selepas dipercayai dipukul di bahagian belakang kepala menggunakan benda keras,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.
Din berkata seorang lagi mangsa yang juga anak pasangan itu berusia 15 tahun cedera parah kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu dan keadaannya dilaporkan kritikal.
Beliau berkata ​​​polis mengetahui kejadian itu selepas menerima panggilan daripada seorang lelaki pada pukul 2.30 petang mengatakan ternampak satu mayat berlumuran darah di hadapan rumah mangsa.

Beliau berkata sebaik menerima panggilan sepasukan anggota polis bergegas ke tempat kejadian dan menemui mayat seorang lelaki di hadapan rumah dalam keadaan berlumuran darah.
Katanya pemeriksaan lanjut menemui mayat isteri mangsa di bahagian dapur dan mayat anak pasangan terbabit di bahagian tengah rumah.
"Siasatan awal polis menemui kesan tapak kaki berlumuran darah di bahagian tangga rumah dua tingkat itu. Polis juga percaya berlaku pergelutan antara mangsa dan suspek sebelum mangsa menghembuskan nafas terakhir.
"Polis percaya rumah dua tingkat itu dijadikan sebagai stor barangan hardware dan mangsa sekeluarga datang ke situ untuk tujuan mengaudit barangan," katanya.
Difahamkan, dua lagi anak mangsa berusia lapan dan 18 tahun terselamat dalam kejadian itu kerana tiada di tempat kejadian ketika itu.
Din berkata siasatan awal pembunuhan itu dipercayai bermotifkan dendam berikutan tiada wang atau barangan berharga milik mangsa hilang dan suspek mungkin berseorangan.
Katanya senjata yang digunakan kemungkinan pisau yang ada di rumah terbabit dan suspek dikatakan melarikan diri menggunakan van milik mangsa.
"Susulan kejadian itu polis Kelantan menubuhkan satu 'taskforce' khusus bagi melakukan siasatan kes berkenaan.
"Kita juga akan menjalankan sekatan jalan raya di beberapa lokasi dan cuba mendapatkan maklumat daripada orang ramai mengenai kejadian ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Jom Monetize Aplikasi Anda Dengan StartApp

Dimsum : Must watch for Asian drama

Share this :

Previous
Next Post »