Asingkan Sukan Dengan Politik Kata ADUN PAS Kedah.

Oleh : Nasir Mustafa (Wakil Rakyat PAS Di Kubang Rotan).

PERTAHANKAN KEGEMILANGAN BOLASEPAK KEDAH DAN TOLAK LANGKAH TEMPANG POLITIK UMNO DALAM BOLASEPAK 

Perlawanan akhir bolasepak merebut Piala Malaysia baharu saja berlalu. Tahniah kepada pasukan Kedah yang telah berjaya mengharumkan nama negeri dengan membawa pasukan Hijau Kuning ke pentas akhir. Meskipun nasib tidak menyebelahi kita, namun seluruh rakyat Kedah dapat menyaksikan kesungguhan pemain berjuang hingga ke wisel penamat. 

Tahniah juga kepada pasukan JDT yang secara mutlak muncul juara kali ini. Kalah, meskipun adat permainan, namun mestilah dilakukan 'post mortem' demi membaiki peluang untuk meraih kemenangan di masa akan datang. 


Adakah langkah Menteri Besar mengumumkan ganjaran besar menanti pemain jika menjurai Piala Malaysia, merupakan satu tindakan bijak? 

Acap benar diperkatakan sebelum ini bahawa tawaran besar seperti itu boleh memberi tekanan kepada pemain dan mengganggu psikologi mereka, sedikit sebanyak boleh menjejaskan permainan. 

Kontroversi perebutan tiket penyokong Kedah melatari pentas perlawanan akhir kali ini. Ia menjadi panas apabila terdapat pendedahan bahawa tiket-tiket tersebut telah 'diborong' lebih awal oleh ahli politik BN untuk diagihkan secara percuma kepada akar umbi di kawasan masing-masing. 

Akibatnya penyokong tegar yang selama ini setia bersama pasukan di waktu kalah dan menang, tidak mendapat tiket. Koleksi kontroversi bertambah lagi apabila lagenda bolasepak Kedah, Radhi Mat Din disingkirkan di saat akhir dari menjadi ikon persembahan di perlawanan akhir. Puncanya kerana sikap jumud pihak tertentu dalam KFA yang tidak dapat menerima hakikat tentang pegangan politik bekas ketua pasukan Kedah tersebut. 

Media maya juga menjadi panas apabila Presiden FAM memberi amaran kepada Pemuda Umno Kedah supaya 'menjaga mulut.' Ramai kalangan peminat bolasepak juga melihat Umno Kedah agak keterlaluan dalam mempolitikkan bolasepak, lalu mencadangkan supaya KFA dibebaskan dari penguasaan orang-orang politik. 

Jutaan rakyat Malaysia dari seluruh negara yang menyaksikan perlawanan akhir dikejutkan dengan insiden Menteri Besar Kedah di'boo' oleh para penyokong Kedah sendiri. Bagi saya ia satu peristiwa malang yang tidak seharusnya berlaku. 

Apakah ianya rentetan dari beberapa peristiwa kontroversi yang telah menyakiti hati rakyat? Saya masih berpendirian bahawa sukan harus dipisahkan dari politik. Apapun lain-lain ahli politik yang sependirian dengan saya juga tidak mampu untuk menghalang rakyat dari menyatakan ketidakpuasan hati terhadap kerajaan melalui apa juga platform yang ada di hadapan mata. 

Adakah tindakan spontan sebahagian besar penyokong Kedah itu adalah bayangan kemarahan dan penentangan mereka terhadap kleptokrasi para pemimpin kerajaan BN? Baru-baru ini, Pemuda Umno Kedah telah mengadakan sidang media khas menyelar penyokong bola sepak yang 'boo' Menteri Besar. 

Mereka juga desak Dato' Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mempertimbangkan untuk meletakkan jawatan sebagai Presiden KFA. Ramai yang rasa pelik dengan tindakan Pemuda Umno Kedah. Nampak macam sokong bawa rebah atau memang sengaja nak rebahkan karier politik Dato' Seri Ahmad Bashah? Presiden FAM telah menulis panjang lebar perihal beberapa kemelut bolasepak negara. 

Antaranya kontrovesi yang melibatkan orang politik Kedah yang terbabit dengan bolasepak. Pemuda Umno Kedah disebut dengan jelas. Maka sepatutnya yang menjadi keutamaan Pemuda Umno ialah menjawab satu persatu dakwaan Presiden FAM. 

Jangan alihkan ke isu 'boo' dan desak Presiden KFA pertimbang lepaskan jawatan. Semoga kegemilangan Kedah di bidang bolasepak terus dipertahankan!

Share this :

Previous
Next Post »