Di China Rakyatnya Hanya Beratur Untuk i-Phone & Musang King, Kita Patut Berbangga - Shabery Cheek.

Produk hasil tani tempatan, durian Musang King bukan sahaja menjadi kegemaran rakyat China tetapi mencetuskan fenomena kegilaan setaraf i-Phone X.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata rakyat di republik itu sanggup berbaris panjang untuk mendapatkan durian Musang King tempatan yang mula dieksport ke China, sejak 2012.
Gambar - Berita Harian
"Di China, ada dua perkara sahaja orang beratur panjang. Pertama, apabila Amerika Syarikat mengeluarkan produk baharu, i-phone X.
"Kedua, durian Malaysia. Itu perkara yang patut kita banggakan," katanya ketika pertanyaan lisan, di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Liang Teck Meng (BN-Simpang Renggam) yang mempersoalkan punca harga durian Musang King naik mendadak dan terlampau tinggi, baru-baru ini.
Turut mempersoalkan isu sama, Sim Tong Him (BEBAS-Kota Melaka).
Ahmad Shabery berkata, durian satu-satunya produk hasil tani yang boleh dieksport dalam kuantiti besar dan mempunyai nilai tinggi.
Katanya, mengambil contoh produk hasil tani dari Eropah, mereka boleh berbangga mengeksport buah anggur dan epal sehingga terkenal di seluruh dunia.
"Kita tiada buah lain yang boleh dieksport besar-besaran dan ada nilai tinggi. Kita ada eksport nanas dan nangka, tetapi kuantitinya sikit.
"Durian Musang King tempatan sangat digemari kerana keunikan luar biasa, nilai dan rasanya," katanya.
Berhubung punca durian yang didakwa mencecah hingga RM100 sekilogram (sekg), sehingga mencetuskan kemarahan penggemar durian, Ahmad Shabery berkata, kenaikan itu berlaku kerana musim pengeluaran buah durian menurun ketara hingga 20 peratus berbanding musim lalu.
"Punca kenaikan harga bukan kerana eksport besar-besaran ke China, tetapi faktor musim. Pengeluaran tahun ini hanya 20 hingga 30 peratus daripada pengeluaran sepatutnya, jadi harga naik mendadak," katanya.
Sumber : Berita Harian

Share this :

Previous
Next Post »