Kanak-Kanak 4 Tahun Ditinggalkan Ibu Di Kedai Makan.

Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dipercayai ditinggalkan ibu kandungnya di sebuah kedai makan dekat Pasir Gudang pada 1 September lalu.

Pemilik kedai makan, Junainah Ngadiman, 56 kini masih mencari keluarga kepada kanak-kanak lelaki tersebut lapor Berita Harian.



Menurut Junainah, kira-kira jam 10 pagi pada hari kejadian, beliau didatangi seorang wanita tempatan yang tidak dikenali dan meminta bantuan untuk menjaga sementara kanak-kanak itu.

"Seorang wanita datang ke kedai saya, Kak Ju Tom Yam memohon untuk menumpangkan sementara anak lelakinya yang dipanggil 'Abang' kerana mahu pergi ke kedai bersebelahan.

"Saya menunggu wanita itu untuk menuntut anaknya, namun sehingga 24 jam dia masih tidak datang," katanya ketika membuat aduan di pejabat The New Straits Times Press (NSTP) di Bandar Baru Uda di sini, hari ini.

Jelas Junaidah, beliau kemudiannya mengambil keputusan untuk mencari penjaga kanak-kanak tersebut yang ditinggalkan di premis miliknya di Kampung Sentosa, Persiaran 1, Masai, Pasir Gudang.

"Sepanjang tempoh sebulan sehingga laporan di Balai Polis Scientex, Pasir Gudang dibuat pada 9 Oktober lalu, pelbagai usaha dilakukan untuk menjejaki wanita terbabit.

"Bagaimanapun, usaha itu menemui jalan buntu, malah tidak ada seorang pun mengenalinya kerana beliau bukan penduduk di kawasan itu," katanya.

Menurutnya, beliau bersimpati dengan keadaan kanak-kanak itu kerana dilihat seperti merindui ibu kandungnya.

"Dengan keadaannya yang tidak mahu bercakap, agak sukar mengetahui asalnya serta lokasi ibunya, menyebabkan saya terpaksa memujuknya setiap kali dia bersedih," katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi beliau di talian 019-6565148.

Beliau berhasrat mengambil kanak-kanak itu sebagai anak angkat sekiranya tiada sesiapa menuntutnya.

Share this :

Previous
Next Post »