Lihatlah Apa Yang Terjadi Pada Mata Lelaki Ini Selepas Mencuba Rawatan Batu Geliga..

Oleh : Suhazeli Abdullah

Rawatan BATU GELIGA MAK LANG

Tersebar video Maklang Batu Geliga yang merawat penyakit rabun mata. Sekali tengok terkesima saya kehebatan MakLang. Boleh kalahkan pakar mata dengan alatan canggih masa kini, hanya dengan sebiji batu geliga. 



Nasihat saya, jangan mudah teruja dengan sesuatu keajaiban kaedah berubat seperti ni. Pernah satu ketika pesakit batu karang ginjal pergi merawat kaedah bedah batin. Batu karang keluar nyata satu persatu dengan penbedahan batin, tanpa pisau. Beliau bawa batu karang itu jumpa saya untuk pengsahan scan. Saya lihat batu tu bukan komponen batu karang pun sebab sejibik macam batu sungai. Scan dibuat, ternyata batu karang beliau masih terlekat dalam ginjal. Seminggu lepas itu saya terima berita pesakit berkenaan meninggal dunia akibat kegagalan buah pinggang. Orang kita selalu teruja dengan perkara sembuh segera, murah, ajaib dan mistik. Tanpa melihat logika sains disebaliknya. Saya tidak akan menuduh Mak Lang amalkan sihir atau mistik.

Menurut ahli Optometris #MedTweetMY, Pn Amira Nadia, rawatan batu geliga yang digunakan itu sama konsep dengan kaedah LASIK atau Orthokeratology [Gambar 2 dan 3]. Ianya satu kaedah perubatan untuk membentuk semula lapisan luar kornea mata supaya imbasan imej yang masuk ke dalam mata terbentuk dengan sempurna. Kaedah ini hanya dilakukan ke atas pesakit yang rabun dekat atau jauh sahaja. Bagi penyakit lain seperti katarak, rosak saraf retina dan seumpamanya, kaedah Lasik atau Ortho-K ini tidak digunakan.



Mekanisma yang boleh dijelaskan dengan menggunakan BATU GELIGA ini adalah; batu tersebut akan memberi tekanan kepada kornea mata dalam sela masa tertentu. Dengan itu kornea akan dibentuk semula (reshaping) mengikut lengkung acuan permukaan batu geliga [Gambar 4]. 



Konsep yang hampir sama dengan lasik atau Ortho-K tadi. Cumanya kaedah batu geliga Mak Lang hanya bersifat sementara. Lama kelamaan kornea akan kembali ke bentuk cengkung asal, kerana batu itu tidak selama-lamanya di situ sebagaimana Ortho-K.

Nasihat saya selanjutnya adalah, jauhkan diri dari mengambil kaedah bahaya batu geliga ini. Kornea adalah lembut, nipis dan sensitif. Gosokan secara kasar atau memasukkan bendasing akan merosakkan permukaannya dengan mudah. Sudah berapa banyak kes kecemasan yang kami temui kerosakan ke atas permukaan kornea ini [lihat gambar contoh 5 - kerosakan kepada kornea mata]. 




Jika ia tidak dirawat sebaiknya, boleh membawa buta mata anda. Batu geliga itupun bukannya bersih. Digunakan terhadap beratus-ratus orang yang hadir mendapatkan rawatan. Tiada jaminan jangkitan kuman tidak berlaku. Peratusannya agak tinggi. Pelanggan yang hadir pun tidak disaring, perebakan bakteria, virus hepatitis malah HIV senang berlaku jika tidak menjaga kebersihan ini.

Jika Mak Lang boleh mendakwa batu geliganya boleh mengubati katarak, rosak saraf mata atau lain-lain, baharulah saya boleh menuduh Mak Lang menggunakan unsur mistik dalam merawat.

Beringatlah sebelum parah. Doktor mata yang bertauliah masih ramai dan sudi membantu anda. Jangan ambil jalan mudah, segera, ajaib dan mistik!

Share this :

Previous
Next Post »