Lubang Besar Dek Banjir Di Tanjung Bungah - Penduduk Luah Kebimbangan.

Oleh : Bernama
Penduduk yang tinggal berhampiran lubang benam besar di Tanjung Bungah bimbang dengan keselamatan mereka dan kesannya terhadap harta benda mereka.
Lubang benam itu dapat dilihat dengan jelas selepas jalan menuju ke kawasan perumahan baharu di Beverly Hills runtuh awal pagi ini akibat hujan lebat berterusan sejak semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bersama Kondominium Surin, Jasmand Ng berkata, penduduk bimbang dengan keselamatan mereka selepas kemunculan lubang benam itu di depan projek perumahan yang baru siap itu.
“Terdapat kira-kira 200 penghuni di 2 blok di sini dan projek pembangunan di bukit yang sedang dilaksanakan dipercayai menjadi punca hakisan tanah setiap kali hujan di sini,” katanya kepada Bernama semasa dihubungi hari ini.
Beliau berkata, penduduk bimbang projek pembangunan di bukit itu dan berdekatan bukit di Solok Tanjung Bungah akan menyebabkan tanah runtuh atau banjir di kawasan berkenaan.
Banjir akibat hujan berterusan selama 17 jam dan angin kencang sejak 12.30 tengah hari semalam melumpuhkan George Town dan Seberang Prai, selain menyebabkan tanah runtuh dan pokok tumbang serta kesesakan trafik teruk ekoran beberapa jalan dinaiki air dan tidak boleh dilalui.

Share this :

Previous
Next Post »