NGO Tak Ikhlas, Hutan Dah Rosak Baru Nak Lapor - MB Pahang.

Oleh : Bernama

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob menyelar tindakan sesetengah pihak termasuk Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) berhubung laporan isu pembalakkan di Merapoh, Lipis apabila hanya berbuat demikian apabila keadaan sudah teruk.

Ujarnya lagi, pelbagai pihak termasuklah NGO dan wakil penduduk sepatutnya mengemukakan bantahan lebih awal supaya tindakan pencegahan boleh diambil lebih awal.

"Kalau ikhlas beritahu awal, nampak ada lori masuk buat kerja terus maklumkan pada kita. NGO pun tidak ikhlas, sudah rosak baru nak keluar surat khabar. Saya pun tak mahu salahkan wakil rakyat, tapi sepatutnya dari awal beritahu," katanya.

Kenyataan itu dibuat beliau ketika mencelah pada penggulungan yang dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Seri Mohd Soffi Abdul Razak di Wisma Sri Pahang yang menjawab isu pembalakkan di Merapoh.

Beliau turut kesal kerana sebagai sebuah kerajaan dan seorang menteri besar, pihaknya bergantung kepada maklumat yang disampaikan  oleh orang ramai untuk mengetahui masalah yang berlaku di dalam negeri kerana mereka ''tidak boleh mengukur seluruh Pahang''.

Dalam pada itu, Mohd Soffi menjelaskan bahawa 'mustahil' untuk tidak menebang pokok kerana pembalakkan yang berlaku adalah sebahagian daripada rancangan untuk membangunkan ladang kelapa sawit.









Kerajaan negeri atas saranan yang dibuat oleh Menteri Besar bagaimanapun akan mencari penyelesaian terhadap kemelut yang timbul supaya projek ladang sawit tersebut tidak akan menjejaskan flora dan fauna yang unik termasuk gua yang menjadi destinasi ekopelancongan di Merapoh.

"Kerajaan negeri sedang mengkaji kemungkinan sebahagian daripada kawasan yang dicadangkan dalam projek pembangunan bagi ladang kelapa sawit itu dikeluarkan daripada rancangan asal,” katanya.

Bermula penghujung Oktober lalu, isu pembalakkan di Merapoh menjadi panas apabila NGO alam sekitar yang terlibat telah menggerakkan solidariti masyarakat antarabangsa di laman sosial menerusi #savemerapoh.

Jom Monetize Aplikasi Anda Dengan StartApp

Dimsum : Must watch for Asian drama

Share this :

Previous
Next Post »