Tak Izin Muslimah Pakai Tudung Bukan Diskriminasi Tapi SOP Kata Pengerusi Hotel.

Perkataan ‘diskriminasi’ tidak boleh digunakan ke atas syarikat yang melarang pemakaian tudung oleh pekerjanya, demikian dakwaan yang dibuat oleh Presiden Persatuan Hotel Malaysia, Cheah Swee Hee ketika mengulas larangan berhijab oleh hotel-hotel yang ada di negara ini.

Cheah
“Kita tidak boleh gunakan ayat diskriminasi (isu larangan tudung). Ia kerana syarikat ada polisi masing-masing.” 

Menurutnya laporan yang diterbitkan oleh The Malaysian Insight, larangan yang wujud bergantung kepada standard operasi dan polisi syarikat yang terbabit dan bukan sesuatu yang berbentuk diskriminasi. 

“Ia lebih kepada polisi dan SOP yang digunakan hotel di seluruh dunia. Ia bukan (Islamophobia) kerana sudah dibuat sejak awal lagi. Jadi, mereka ada SOP,” tegas Cheah Swee Hee lagi. 

Isu ini telah didedahkan oleh Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (Uni-MLC) apabila pekerja muslimah yang diarahkan untuk membuang tudung oleh majikan membuat aduan.


Bagaimanapun dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Pengerusi Malaysian Alliance of Civil Society Organisations in the UPR Process (MACSA) hari ini, Azril Mohd Amin membidas kenyataan Presiden Persatuan Hotel Malaysia Cheah Swee Hee yang mendakwa bahawa larangan pemakaian tudung bagi pekerja di barisan hadapan hotel adalah berdasarkan SOP antarabangsa. 

“Tiada standard operasi (SOP) antarabangsa yang melarang pemakaian tudung; dan ya, larangan ini sebenarnya satu diskriminasi,” katanya.

“Semua pelancong antarabangsa tahu bahawa dakwaan Cheah Swee Hee tidak benar. Ini kerana pekerja hotel di seluruh dunia dibenarkan memakai tudung; (hotel-hotel di) Negara Teluk, Turki, Indonesia, UK, US tidak mengenakan sebarang sekatan kepada pekerja hotel mereka untuk memakai pakaian yang diwajibkan dalam agama mereka, begitu juga halnya di kebanyakan hotel di Malaysia,” katanya lagi dalam kenyataan itu.


Tambahnya lagi, polisi (larangan memakai tudung) ini jelas menunjukkan sikap prejudis dan tidak bertoleransi dengan budaya. Selain daripada itu, polisi ini bukan berdasarkan amalan perniagaan yang baik mahupun dibuat mengikut undang-undang, maka ia boleh diubah dan perlu diubah. 

“Kita sememangnya bersetuju bahawa majikan mempunyai hak untuk menetapkan kod pemakaian pekerja – dan sehingga ke satu tahap melarang dari mengekspresikan sebarang bentuk ajaran agama sekiranya menimbulkan kesukaran kepada pihak majikan atau rakan sekerja atau atas dasar keselamatan; akan tetapi, sekatan-sekatan tersebut hanya boleh dibenarkan apabila benar-benar perlu.” 

“Dan, larangan pemakaian tudung kepada pekerja Muslim bukanlah termasuk dalam mana-mana kategori (yang memerlukan sekatan) tersebut.” 

“Justeru, kami menggesa kepada kementerian yang berkenaan seperti Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk mengambil tindakan yang sepatutnya bagi mengubah polisi yang jelas mendiskriminasikan wanita berdasarkan agama ini,” tegas Azril lagi. - SoZPress.

Share this :

Previous
Next Post »